Kota Kinabalu: Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah menyampaikan sumbangan kepada lima penerima di bawah Program Homeward, sebuah inisiatif di bawah JPKA.
JPKA Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, sumbangan berupa katil Hi-Lo Homeward dan bakul makanan itu diserahkan kepada penerima sekitar Kampung Darau Laut; Kampung Dambai Inanam dan Kampung Likas di sini.
Penyerahan sumbangan disempurnakan Pengarah JPKA Sabah Jais Asri dan turut dihadiri Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Darau Abqaree Fawwaz Abekan; Penyelia Kemajuan Masyarakat Darau Mohd Sharil bin Sahar dan Pegawai Kemajuan Masyarakat Nicho Unui.

Menurut JPKA, program itu memfokuskan kepada penyediaan kemudahan peralatan asas wad seperti hi-lo bed, ripple mattress, kerusi roda, oxygen concentrator, ward partition, commode chair dan peralatan lain mengikut keperluan pesakit secara Loaner Cycle.
“Lawatan khidmat sokongan secara berkala turut dibuat, di samping pemberian sokongan melalui Bantuan Kewangan Bulanan di bawah skim Bantuan Am, Bantuan Pesakit Kronik / Terlantar, atau Bantuan Warga Emas dengan kadar antara RM250 sehingga RM600 sebulan.
“Permohonan adalah terbuka kepada Warganegara Malaysia yang menetap di Negeri Sabah dan merupakan pesakit kronik atau terlantar yang disahkan oleh hospital kerajaan, warga emas atau OKU yang uzur dan tidak boleh mengurus diri sendiri, termasuk pesakit daripada kalangan B40 dan ke bawah,” menurut kenyataan itu.
Program ini menggalakkan penjagaan terbaik kepada warga emas dan OKU terlantar dalam persekitaran keluarga sendiri dan seterusnya dapat mengurangkan kebergantungan kepada institusi penjagaan kerajaan. – SABAH MEDIA