BANDAU: Jentera Parti Gagasan Rakyat Sabah diminta mengukuhkan perpaduan dan mengelakkan perselisihan dalaman menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang semakin hampir.
Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda berkata, semua pihak dalam parti perlu mengutamakan usaha mempertahankan kerajaan sedia ada, bukannya melayan isu-isu yang boleh melemahkan kekuatan parti.
Menurutnya, fokus utama perlu diberikan kepada perjuangan memastikan kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor memperoleh mandat baharu daripada rakyat demi meneruskan agenda pembangunan negeri Sabah.
“Gerak kerja kita perlu bersepadu, saling menyokong dan menutup kelemahan masing-masing serta menjayakan setiap program yang dirancang. Ibarat tiang rumah dan batu-bata yang saling mengukuhkan.
“Jika ada perbezaan pendapat, selesaikan di meja rundingan. Jangan gunakan media sosial untuk meluahkan perasaan kerana ia tidak mendatangkan kebaikan kepada parti, sebaliknya memberi peluang kepada lawan untuk menjatuhkan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Bahagian Bandau yang diadakan di Dewan Komuniti Kota Marudu, Ahad lalu.
Persidangan itu dirasmikan Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat, Datuk Maijul Mahap yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bandau, serta dihadiri jawatankuasa bahagian dan ketiga-tiga sayap parti.
Redonah yang juga Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bandau berkata, perpaduan dalam kalangan jentera mencerminkan semangat saling menghormati dan kesetiaan terhadap kepimpinan.
“Tanpa perpaduan dan kesetiaan, segala usaha dan kerja keras kita akan menjadi sia-sia, apatah lagi dalam usaha mempertahankan kerajaan yang dipimpin Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Amat penting untuk kita semua meneruskan kecemerlangan yang telah dibuktikan oleh Ketua Menteri. Sabah kini stabil, makmur dan terus maju di bawah kepimpinan beliau,” katanya.
Beliau turut mengingatkan jentera bahawa pihak lawan sentiasa mencari kelemahan Gagasan Rakyat bagi mengelirukan rakyat dan menanam kebencian terhadap parti.
Justeru, katanya, semua jentera tidak boleh leka dan perlu memastikan maklumat yang tepat serta sahih disampaikan kepada rakyat, khususnya menjelang pilihan raya akan datang.