Kota Kinabalu : Kerjasama strategik Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) dan Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) memacu usaha pemerkasaan wanita berteraskan aspek ekonomi, pendidikan dan kepimpinan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, kedua-dua entiti itu akan berganding bahu menjayakan pelbagai program yang dirancang bagi meningkatkan pembangunan modal insan wanita di negeri ini.
“JHEWA berperanan sebagai sekretariat yang membantu pelaksanaan program dirancang MPWS meliputi pelbagai bidang termasuk ekonomi, sosial, undang-undang, pendidikan, kesihatan, gender, wanita dan media.

“MPWS pula bertindak sebagai badan penasihat kepada kerajaan negeri serta pemikir program menerusi tujuh jawatankuasa yang menyatukan usaha membangunkan kaum wanita di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Engagement With Sabah’s Women Leaders di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Isnin.
Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri, Datuk Flovia Ng.
James berkata, program berkenaan akan diteruskan ke peringkat sesi lab yang memfokuskan pemerkasaan wanita dalam tiga teras utama tersebut.
“Melalui program seumpama ini, usaha kerajaan untuk memperkasakan golongan wanita dijangka memberi hasil yang lebih berimpak tinggi, dalam usaha menjana kepimpinan berintegriti dan prihatin, kita memerlukan pemimpin wanita yang mampu membawa pendekatan kepimpinan berteraskan empati dan keadilan sosial.
“Kita juga memerlukan lebih ramai wanita berkelayakan dalam arena pentadbiran awam dan politik bagi membentuk dasar yang lebih sensitif terhadap isu berkaitan wanita.
“Penting untuk memastikan pemerkasaan wanita dilaksanakan dalam usaha mewujudkan pembangunan komuniti yang lebih inklusif,” katanya.
Program berkenaan disertai kira-kira 1,300 peserta yang terdiri daripada pemimpin jabatan, pegawai wanita agensi kerajaan dan swasta, GLC, pemimpin akar umbi, usahawan, NGO serta wakil institusi pengajian tinggi awam dan swasta.