HomeUtamaPerdagangan Malaysia-China cecah rekod tertinggi USD212 Bilion

Perdagangan Malaysia-China cecah rekod tertinggi USD212 Bilion

Read Time:1 Minute, 27 Second

Kota Kinabalu : Jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan China mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah apabila mencecah USD212.04 bilion bagi tahun 2024, meningkat 11.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata pencapaian itu mengukuhkan lagi kedudukan China sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut.

“Eksport komoditi Malaysia ke China sahaja melebihi RM20 bilion, dengan minyak sawit menyumbang lebih separuh daripada jumlah itu,” katanya ketika merasmikan Pejabat Persatuan Persahabatan Malaysia-China Sabah di Taman Iramanis, pada Isnin.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

Chan berkata, kerjasama erat antara Malaysia dan China bukan sahaja melibatkan perdagangan, malah semakin berkembang dari segi pelancongan dan pertukaran budaya apabila ketibaan pelancong dari China dijangka melebihi 3.8 juta orang tahun ini, lebih dua kali ganda berbanding 2023.

“Hubungan erat ini wujud hasil daripada ikatan sejarah dan budaya antara kedua-dua negara yang terjalin sejak berabad-abad lamanya,” katanya.

Beliau berkata, Sabah berpotensi besar untuk menarik pelaburan China dalam pelbagai bidang seperti teknologi pertanian, amalan penanaman lestari dan pemprosesan tambah nilai komoditi.

“Sumber semula jadi Sabah yang melimpah ruah melengkapi kekuatan China dalam inovasi teknologi, skala pasaran dan keupayaan pelaburan.

“Saya galakkan Persatuan Persahabatan Malaysia-China Sabah terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam memperkukuh perkongsian strategik, termasuk mempromosi inisiatif pertanian pintar dan pembangunan eko-pelancongan yang boleh membuka laluan produk premium Sabah ke pasaran China,” katanya.

Chan turut berharap pejabat baharu persatuan itu menjadi hab interaksi pelbagai lapisan masyarakat bagi merapatkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Turut hadir, Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China Sabah, Dr Oh Ei Sun; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Richard Yong We Kong dan Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Tan Lee Fatt.

RELATED ARTICLES
Utama

578 ladang di Sabah terima pensijilan myGAP, 34 ladang terima pensijilan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular