Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang mekanik dibebaskan selepas Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, mengetepikan sabitan serta hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan atas pertuduhan mengedar 1,413.4 gram syabu.
Hakim Dato’ Azman Abdullah, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Noorin Badaruddin, sebulat suara membebaskan dan melepaskan Muhammad Tarmizi Wong Abdullah, 50, selepas membenarkan rayuan Wong terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.
Pada 20 September 2023, Mahkamah Tinggi di sini telah mensabitkan Wong atas pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.
Wong diperintahkan untuk menjalani penjara seumur hidup iaitu pemenjaraan selama 30 tahun bermula dari tarikh tangkapannya pada 30 November 2020.
Wong didakwa mengedar syabu di hadapan kawasan memunggah barang di sebuah kampung di Menumbok, Beaufort, pada 30 November 2020.
Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman mati, atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Wong diwakili oleh peguam Datuk Ram Singh dan Prem Elmer Ganasan.