Kota Kinabalu : Taburan penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman selain bentuk muka bumi yang unik di negeri ini menjadi antara cabaran yang dihadapi Perkhidmatan Perubatan Transfusi Negeri Sabah bagi mengadakan kempen derma darah.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr Maria Suleiman berkata, selain itu mitos-mitos dan kepercayaan yang menyelubungi pendermaan darah seperti takut jarum dan sebagainya turut dilaporkan sebagai cabaran bagi melaksanakan kempen berkenaan.
Di samping itu katanya, segolongan besar masyarakat mempunyai paras hemoglobin yang rendah menjadikan golongan ini tidak layak untuk menderma darah disebabkan oleh anemia kekurangan zat besi dan pembawa gen talasemia.

“Setakat kini, peratusan penderma darah di negeri ini masih lagi berada di bawah paras yang optima. Pada tahun 2023, Sabah telah mencatatkan sejumlah 75, 644 pendermaan darah manakala pada tahun 2024 sebanyak 77, 996 pendermaan darah yang berjaya.
“Peningkatan ini masih belum mencukupi untuk menampung keperluan pesakit yang saban hari meningkat, peningkatan kes-kes kanser dan penyakit kronik serta peningkatan populasi golongan masyarakat yang berusia.
“Berikutan dengan perkembangan perubatan di Negeri Sabah, keperluan penggunaan darah turut meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutran Hari Penderma Darah Sedunia peringkat negeri Sabah di sini baru-baru ini.
Majlis disempurnakan Paduka Puteri Tunku Mariamz Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Dr Maria berkata, keperluan darah yang tinggi di Sabah turut dipengaruhi permintaan darah yang tinggi di kalangan pesakit talasemia yang memerlukan transfusi darah sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan.
Katanya, jumlah pesakit talasemia di Sabah adalah jumlah tertinggi di seluruh Malaysia iaitu sebanyak 1,995 kes di mana seramai 1, 380 orang pesakit atau 69 peratus merupakan Transfusion-Dependant Thalassaemia (TDT).
Menurutnya, bilangan notifikasi kes baharu talasemia di Sabah pula mencatatkan seramai 73 kes pada tahun 2024 dan 20 kes dicatatkan sehingga Mei tahun 2025.
“Dengan perawatan pesakit talasemia yang lebih baik, lebih ramai pesakit mencapai usia yang lebih panjang. Oleh itu, keperluan darah golongan ini juga turut meningkat saban tahun,” katanya.
Justeru itu, beliau menyeru semua pihak agar tampil menderma darah di semua tabung darah dan menjayakan setiap kempen derma darah yang dianjurkan di lokaliti masing-masing agar kutipan darah mencukupi bagi pembekalan kepada pesakit-pesakit di negeri ini. – SABAH MEDIA.