Kota Kinabalu: Sebanyak 15 biji kek bersempena sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-74 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman diagihkan kepada rumah-rumah kebajikan dan anak yatim.
Dalam ucapan ringkasnya, Tun Musa berkata, agihan itu bagi memastikan sambutan ulang tahun itu dapat dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Antara kek yang menarik perhatian ialah kek bertemakan kereta Rolls Royce Ghost berwarna Midnight Blue bercampur coklat emas sumbangan Sutera Harbour Resort yang dihasilkan oleh Chef Pastri, Kee Roesdyen bersama empat pembantunya.
“Kek jenis chocolate moist seberat 30 kilogram (kg) dengan tambahan fondant 20 kg itu disiapkan dalam tempoh empat hari,” katanya.
Selain itu, Shangri-La Rasa Ria Resort mempersembahkan kek berinspirasikan replika Masjid Beaufort dan corak tradisional Linangkit dari Tuaran berperisa buttercream seberat 50 kg serta disiapkan dalam tempoh lima hari.

Sementara, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), menampilkan kek bertemakan Masjid Bandaraya sempena bulan Zulhijjah yang mempamerkan keunikan reka bentuknya dan turut dikenali sebagai Masjid Terapung kerana lokasinya di atas air hasil karya Chef De Partie Martha Edward Santani bersama tiga pembantu.
Tidak ketinggalan, Hyatt Regency Kinabalu juga mempersembahkan kek replika ikan todak yang menjadi mercu bulatan berhampiran hotel terkemuka tersebut.
Kek berperisa carrot, walnut dan kurma seberat 20 kg yang disiapkan oleh Pastri Chef, Awang Mohd Yusrinizam dalam tempoh tujuh hari dengan bantuan empat pembantu.
Turut mempersembahkan kek ialah Markas Divisyen Kelima Infantri, Tentera Laut Diraja Malaysia, Hotel Le Meridien, Hotel Horizon, Nexus Resort and Spa Karambunai, Hotel Promenade, Ming Garden, Dreamtel Kota Kinabalu, The Palace Hotel, Sabah Oriental Hotel dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah.
Hadir sama, Panglima Divisyen Kelima Infantri Mejar Jeneral Datuk Noorrul Azril Ariffin, Panglima Armada Timur Pangkalan TLDM Kota Kinabalu Mohd Norizal Fahrudin dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun.