SANDAKAN: Dua lelaki melecur di bahagian bahu dan tangan selepas lori yang membawa muatan tong gas Gas Petroleum Cecair (LPG) terbakar sepenuhnya dalam satu kejadian di Jalan Damai, berhampiran Taman Kim Jaiyen, di sini pagi Sabtu (21 Jun).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan digerakkan ke lokasi kejadian sejauh empat kilometer dan tiba pada jam 11.16 pagi.
“Setibanya pasukan bomba mendapati satu insiden melibatkan sebuah lori Isuzu 1.5 tan yang membawa 45 tong LPG telah terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran 100 kaki dengan satu pancutan serta dua unit buih (foam), menggunakan sumber air daripada jentera dan lori tangki air (water tanker),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.22 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.14 tengah hari selepas pemeriksaan lanjut di lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain.
Menurutnya, terdapat dua mangsa cedera dalam kebakaran itu.
“Mangsa yang cedera ialah pemandu lori, lelaki berusia 50 tahun yang melecur di bahagian bahu dan tangan, serta kelindan warga Indonesia yang melecur di tangan kanan.
“Kedua-duanya telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Operasi pemadaman diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Chauslim Sumsubil bersama Pegawai Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Jimmy Lagung selaku Komander Operasi Kanan dengan bantuan agensi lain termasuk empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua petugas KKM.