Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Anggota pasukan keselamatan berjaya memberkas seorang lelaki yang dikehendaki polis berkaitan kes penipuan serta memiliki dadah jenis syabu dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Timur di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner (ACP) Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 11 pagi ketika pasukan polis menjalankan sekatan jalan raya rutin.
Menurut belia, suspek ditahan oleh anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), IPD Tawau yang membuat pemeriksaan dalam sekatan jalan raya tersebut.
“Pemeriksaan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun menemui satu kotak rokok di dalam poket seluarnya yang mengandungi dua paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat anggaran 0.16 gram.
“Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis syabu, “ kata beliau dalam satu kenyataan.
Jasmin menambah, hasil semakan lanjut menggunakan peranti Mobile Card Acceptance Device (MCAD) mengesahkan suspek adalah individu yang dikehendaki polis berhubung kes penipuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Katanya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dan menggunakan dadah berbahaya, serta Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam kes penipuan.
Dalam pada itu, Jasmin turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah menerusi talian hotline IPD Tawau atau balai polis berhampiran.