Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seramai 24 warga asing dijatuhi hukuman penjara selepas mengaku bersalah memasuki negeri ini tanpa pas yang sah.
Kesemua tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, Hurman Hussain.
Mereka ditahan antara 10 dan 12 Jun lalu di pelbagai lokasi di sekitar daerah Penampang, Sipitang, Keningau dan Ranau.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, dua daripada mereka dipenjara enam bulan lagi dengan satu sebatan kerana memasuki Sabah tanpa pas yang sah dan kembali semula ke negeri ini juga tanpa pas yang sah selepas diusir sebelum ini.
Habil Ismail dan Albasir Abdullah masing-masing ditangkap pada 10 Jun di sebuah rumah Kongsi di Ranau dan sekitar kawasan Keningau.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan secara berasingan, menjadikan tempoh hukuman bagi Habil dan Albasir masing-masing 10 bulan penjara berserta satu sebatan, bagi dua pertuduhan yang dihadapi.
Dalam mahkamah yang sama, dua lagi warga asing masing-masing didenda kerana tinggal lebih masa di Sabah.
Shah Jawad Ali dan Muhammad Maaz, kedua-duanya warga Pakistan, ditahan di Tuaran pada 11 dan 13 Jun lalu.
Pas Lawatan Sosial milik Shah hanya sah sehingga 6 November 2024, namun dia telah tinggal lebih masa selama tujuh bulan. Bagi Muhammad, pas lawatannya hanya sah sehingga 20 April lalu, dan dia telah tinggal lebih masa selama sebulan.
Mahkamah memerintahkan semua tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman penjara untuk tindakan lanjut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Norizan Awang Tanda dan Mohd Sharifuddin Salim. Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.