HomeUtamaMPPK kecam tindakan biadab mahasiswa, PM arah tiada sekatan akademik

MPPK kecam tindakan biadab mahasiswa, PM arah tiada sekatan akademik

Read Time:1 Minute, 56 Second

Kota Kinabalu : Tindakan sekumpulan mahasiswa yang terlibat dalam membakar karikatur pemimpin tertinggu negara pada perhimpunan ‘Gempur Rasuah 2.0’ di sini baru-baru ini dilihat jelas bertentangan dengan nilai dan adab seorang mahasiswa.

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu dilihat bersifat provokatif, berlebihan dan mencemar citra institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai medan ilmu dan intelektualisme.

MPPK menghormati prinsip kebebasan bersuara yang diamalkan di kampus dan mengiktiraf peranan mahasiswa sebagai suara intelektual yang bebas untuk menyuarakan pandangan. 

Menurut MPPK lagi, kebebasan ini merupakan salah satu tunjang penting dalam membina ekosistem demokrasi yang matang dan beradab di IPT.

“Namun MPPK mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ini. Ia bukan sahaja mencerminkan ketandusan pemikiran rasional, malah berisiko mengganggu ketenteraman awam serta menghakis nilai kesarjanaan yang sewajarnya dijunjung tinggi oleh warga universiti.

“Sebagai mahasiswa yang dididik dalam suasana yang berasaskan kesantunan dan intelektualisme, kita seharusnya mengangkat prinsip kesantunan,  penghormatan dan kemampuan untuk berbeza pandangan secara beradab, bukan melalui tindakan ekstrem, biadab atau menghina mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu di sini pada Selasa.

Sementara itu, MPPK turut menghargai dan memuji tindakan berjiwa besar Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (IPT) dan pihak Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk tidak mengambil tindakan keras sehingga menamatkan pengajian mereka yang terlibat sungguhpun menjadi sasaran dalam insiden ini.

“Pendekatan penuh ihsan ini jelas mencerminkan komitmen Kerajaan dalam memastikan tiada anak muda yang tercicir daripada akses kepada pendidikan hanya kerana kekhilafan yang dilakukan supaya mereka dapat melakar kecemerlangan pada masa hadapan.

“MPPK kekal komited untuk memelihara keharmonian dan ketenteraman kampus sebagai ruang intelektual yang aman, sejahtera dan kondusif untuk pembangunan ilmu, sahsiah serta kepimpinan mahasiswa.

“Kami menyeru semua pihak agar menolak sebarang bentuk tindakan yang mencetuskan gangguan kepada ketenteraman awam, dan bersama-sama memastikan keamanan kampus dan negara terus dipelihara demi masa depan yang lebih bermaruah dan bersatu,” tambah kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, taklimat harian Pejabat Perdana Menteri hari ini memaklumkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan KPT dan UMS agar pelajar yang terlibat tidak disekat perjalanan akademiknya.

“Masa depan anak muda tidak harus terkorban dalam arus perbezaan pandangan. Demi generasi akan datang, Kerajaan MADANI akan terus menapak di landasan reformasi, memastikan setiap usaha memerangi rasuah diterjemah kearah kesejahteraan dan kemakmuran buat seluruh rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu di sini. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

578 ladang di Sabah terima pensijilan myGAP, 34 ladang terima pensijilan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular