KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) menegaskan bahawa tiada sebarang kenaikan tersembunyi dalam tarif elektrik di negeri ini, seperti yang didakwa pihak tertentu baru-baru ini.
Dalam kenyataannya hari ini, ECoS merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan Warisan Bahagian Kota Kinabalu, Samuel Wong, berhubung dakwaan kenaikan tarif secara tidak langsung melalui struktur kadar bertingkat.
“Struktur tarif dan kadar semasa tidak mengalami sebarang semakan sejak kali terakhir ia disemak pada tahun 2014,” katanya.
Menurut ECoS, jadual kadar tarif elektrik bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang berkuat kuasa sejak 1 Januari 2014 boleh diperoleh melalui laman web rasmi Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity).
Pengguna juga diberi jaminan bahawa kadar tertinggi yang dikenakan adalah 47 sen/kWj bagi penggunaan melebihi 1,000 unit sebulan atau bil melebihi RM383, dan kadar ini telah berkuat kuasa sejak lebih satu dekad lalu.
Sehubungan itu, ECoS menggesa Samuel Wong atau mana-mana pihak awam yang mempunyai aduan berhubung bil elektrik yang didakwa tidak selaras dengan struktur dan kadar tarif digazetkan supaya mengemukakan aduan rasmi kepada ECoS.
“Sekiranya terdapat sebarang kesilapan atau kecuaian daripada pihak Sabah Electricity, ECoS akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan pembetulan yang sewajarnya,” jelasnya.
Bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti, ECoS turut menyarankan orang ramai untuk menggunakan saluran rasmi aduan dan penjelasan, Talk2ECoS, terutamanya sekiranya mereka tidak menerima maklum balas memuaskan daripada pihak pelesen seperti Sabah Electricity.
“ECoS komited untuk melindungi hak pengguna dan memastikan harga elektrik yang adil, sambil terus menyokong usaha meningkatkan kebolehpercayaan dan kelestarian bekalan tenaga di Sabah,” tambah kenyataan itu.