HomeUtamaSabah perkenal inisiatif BAYU, tanggung yuran MUET pelajar

Sabah perkenal inisiatif BAYU, tanggung yuran MUET pelajar

Read Time:1 Minute, 54 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan negeri memperkenalkan satu lagi inisiatif baharu iaitu Bantuan Yuran Peperiksaan MUET untuk Pelajar B40 (BAYU) agar tidak tercicir daripada melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi akibat kekangan kewangan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, bantuan itu memberi tumpuan kepada pembiayaan peperiksaan Malaysian University English Test (MUET) yang wajib diambil bagi kemasukan ke program ijazah pertama di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). 

Katanya, dengan bantuan itu diharap lebih ramai pelajar B40 akan dapat mempersiapkan diri dengan lebih baik untuk menyambung pelajaran ke peringkat universiti.

“Tahun ini yang terbaru kita mengumumkan inisiatif  bayaran kepada yuran anak-anak yang menduduki peperiksaan MUET.  Semua akan menerima, bukan sahaja B40. Yang mengambil MUET itu kita berikan yuran mereka melalui Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).

“Inisiatif ini akan mula dilaksanakan berkuat kuasa dalam peperiksaan MUET Sesi 3 Tahun 2025.  Langkah ini diambil sebagai satu usaha murni untuk meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah.

“Pada masa sama memperkukuh akses pendidikan serta kemahiran bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar luar bandar, bandar dan pedalaman tanpa mengira lokasi geografi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan MUET di Menara Kinabalu di sini pada Selasa.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin.

Pada majlis itu, seramai 146 orang pelajar cemerlang menerima anugerah termasuk inisiatif kewangan dari Kerajaan negeri.

Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama Sabah berkata, pelajar cemerlang akan diberikan sebanyak RM1,000 setiap seorang selepas memperoleh keputusan cemerlang.

“Manakala pelajar cemerlang diperingkat Malaysia, kita berikan sebanyak RM3,000,” katanya.

Dalam pada itu, Arifin berkata, Kerajaan Negeri Sabah telah memperuntukkan dana yang besar untuk melaksanakan 13 inisiatif bantuan pendidikan bagi pelajar, sekolah, persatuan ibu bapa dan guru, serta persatuan mahasiswa Sabah di dalam dan luar negara.

Katanya,  inisiatif itu bertujuan untuk meringankan beban kewangan dan memperkasa pendidikan di Sabah.

Selain inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan, terdapat juga program biasiswa dan dermasiswa lain yang disediakan melalui agensi-agensi Kerajaan Negeri.

Antaranya Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS); Biasiswa Kumpulan Yayasan Sabah; Dermasiswa Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Perbadanan Baitulmal Sabah.

Permohonan biasiswa  tersebut kini telah disepadukan  di  Portal  Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS) untuk memudahkan proses permohonan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah perkukuh akses pendidikan berkualiti, lebih 100 pelajar cemerlang diraikan esok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular