Kota Kinabalu : Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengambil pendekatan ‘Game Changer’ yang menyeluruh dan radikal demi memastikan setiap agensi dan anak syarikat di bawahnya benar-benar memberi impak.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan yang dilakukan melibatkan barisan tertinggi kementerian termasuk jabatan dan agensi di bawahnya telah memasuki sesi pemukiman kali kelima.

“Pertamanya, setiap agensi dan anak syarikat diwajibkan untuk menjana keuntungan. Mana-mana syarikat atau anak syarikat yang tidak ada keuntungan, ianya boleh dibuat secara Management Buy-Out (MBO) atau ditutup sepenuhnya.

“Kita menyasarkan hanya satu tahun untuk agensi dan anak-anak syarikatnya membuat keuntungan dan saya bukan hanya mengeluarkan arahan tetapi saya ‘hands-on’ turun ke bawah dan memberikan beberapa panduan untuk mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Pemerkasaan Usahawan Wanita Sabah (PPWS) di Pusat konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Selasa.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, setiap agensi turut diberi sasaran yang jelas mengikut kawasan operasi masing-masing.
Namun katanya, pendekatan KKDW lebih progresif jika KPI tidak tercapai, puncanya akan disiasat; jika tercapai, agensi tetap dicabar untuk meningkatkan lagi prestasi.
“Capai KPI bukan bermakna selesai. Kita soal balik, apa lagi boleh dibuat lebih baik?” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu turut diguna pakai dalam bidang pendidikan, terutamanya melalui agensi Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi pendekatan baharu diperkenalkan iaitu penggabungan kecemerlangan akademik dan pengukuhan spiritual.
Katanya, sebanyak 57 MRSM telah di-ulul albabkan dimana program hafazan Al-Quran dimulakan sejak Tingkatan 1, tanpa mengabaikan subjek sains dan profesional.
“Ini bukan saja mencipta pelajar cemerlang, tapi berjiwa besar dan berakhlak tinggi – itulah ‘game changer’ sebenar dalam pendidikan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, lebih menarik, KKDW kini menggunakan pendekatan ‘engagement’ dengan memberi sokongan, dorongan dan motivasi kepada semua lapisan pekerja, bukan hanya pegawai atasan, tetapi termasuk staf pertengahan dan bawahan.
“Bila mereka rasa dihargai, semangat kerja meningkat. Inilah budaya kerja baharu yang kita bawa,” katanya. – SABAH MEDIA