HomeUtamaSyabu lebih 3kg dirampas di Tawau

Syabu lebih 3kg dirampas di Tawau

Read Time:1 Minute, 45 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Lebih tiga kilogram dadah jenis syabu bernilai RM105,000 berjaya dirampas dalam satu operasi khas oleh polis di kawasan Inderasabah, di sini, pada 20 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota polis, sebelum mencampakkan sebuah beg berwarna kelabu bertulis “ONESTOP” di tepi jalan.

“Hasil pemeriksaan ke atas beg tersebut menemukan tiga bungkusan teh jenama ‘Guanyinwang’ yang mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan berat keseluruhan 3,085.64 gram dan dianggarkan bernilai RM105,000 di pasaran gelap,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek yang bertindak agresif ketika cuba ditahan akhirnya berjaya diberkas di kawasan berhampiran Fishing Paradise dan pemeriksaan lanjut mendapati dia tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. Siasatan awal juga mendapati dadah ini dipercayai akan diseludup ke negara jiran menggunakan laluan laut dengan bantuan bot laju, yang merupakan salah satu modus operandi sindiket,” katanya.

Menurut Jasmin, pihaknya percaya suspek bertindak sebagai ‘runner’ atau penghantar bagi sindiket penyeludupan dadah yang lebih besar.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 28 Jun ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, siasatan juga mendapati bekalan dadah terbabit diperoleh dari dalam negara, dan polis kini sedang mengesan rangkaian lain yang terlibat dalam sindiket berkenaan.

Jasmin turut memaklumkan bahawa polis menjalinkan kerjasama rapat dengan pasukan keselamatan dari Kalimantan Utara, Indonesia, termasuk melalui beberapa pertemuan rasmi bagi memperkukuh jaringan maklumat dan operasi bersama di sempadan.

“Kita juga menyeru masyarakat agar tidak terus menyalahkan pihak berkuasa sekiranya berlaku insiden jenayah. Sebaliknya, salurkan maklumat kepada polis dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya,” tegasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa indeks jenayah di Tawau telah menunjukkan penurunan lebih 50 peratus tahun ini berbanding tahun lalu, hasil usaha berterusan pihak penguatkuasa dan kerjasama erat masyarakat setempat.

RELATED ARTICLES
Utama

Yong Gesa Kerajaan Sabah Gantikan Jabatan Air Dengan Badan Berkanun Baharu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular