PENAMPANG: Polis Penampang merampas sebanyak 78,500 mililiter cecair disyaki air ketum dalam tiga serbuan berasingan menerusi operasi bersepadu mencegah jenayah yang dijalankan di sekitar daerah Putatan, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM1,320 dan melibatkan 53 botol plastik berisi cecair dipercayai air ketum.
Menurutnya, seramai tiga lelaki tempatan berumur antara 33 hingga 41 tahun ditahan dalam operasi tersebut.
“Kesemua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara hingga empat tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut memberi amaran bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan menyalahi undang-undang.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah, terutamanya melibatkan dadah atau air ketum, diminta untuk segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya lagi.