Tuaran : Daerah Tuaran dipilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran kejohanan Bina Badan, Mr Sabah 2025 yang akan berlangsung selama dua hari bermula 1 Ogos depan.
Kejohanan anjuran Persatuan Bina Badan Negeri Sabah (SBBA) dengan kerjasama Pejabat Daerah Tuaran itu akan diadakan di Dewan Seri Sulaman di sini.
Presiden SBBA, Clarence Runggi berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan kunjungan hormat SBBA kepada Pegawai Daerah Tuaran, Herman Tunggiging di Pejabat Daerah Tuaran baru-baru ini.
Clarence berkata, penganjuran kejohanan itu turut mendapat sokongan dari Pegawai Daerah dan turut menyambut baik serta mengalu-alukan pemilihan daerah Tuaran sebagai tuan rumah.
Katanya, kejohanan itu adalah bagi memilih atlet-atlet bina badan di negeri ini bagi mewakili negeri Sabah ke kejohanan Bina badan peringkat Kebangsaan, Mr Malaysia 2025 yang dijangka diadakan pada 25 hingga 29 September 2025 di Pahang.
“Mr Sabah 2025 akan mempertandingkan 14 kategori termasuklah lapan kategori Bina Badan junior dan senior, dua kategori physique lelaki dan satu kategori wanita ‘Model Atheltic’.
“Kita turut mengalu-alukan semua atlet yang berminat supaya mendaftar lebih awal supaya tidak menunggu di saat akhir untuk mendaftar.
“Selain mewakili negeri Sabah, pemenang-pemenang setiap kategori akan memenangi hadiah berbentuk wang tunai, medal dan sijil kejohanan,” katanya.
Beliau turut mempelawa orang ramai khususnya di daerah ini untuk sama-sama hadir menyaksikan kejohanan berkenaan. – SABAH MEDIA