HomeUtama36 warga Bangladesh ditahan, disyaki terlibat gerakan militan ekstremis

36 warga Bangladesh ditahan, disyaki terlibat gerakan militan ekstremis

Read Time:1 Minute, 27 Second

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 36 warganegara Bangladesh yang dipercayai terlibat secara langsung dalam gerakan militan radikal berpaksikan fahaman ekstremis dan ideologi keganasan.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, operasi keselamatan terancang ini bermula sejak 24 April 2025, melibatkan tiga fasa tangkapan di sekitar Selangor dan Johor.

“Dalam operasi tersebut, lima daripada suspek telah dituduh di bawah Bab VIA Kanun Keseksaan di Mahkamah Seksyen Shah Alam dan Johor Bahru. Sebanyak 15 individu dikenakan perintah pengusiran, manakala baki 16 lagi sedang disiasat lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, hasil risikan Cawangan Khas mendapati kumpulan ini membawa masuk fahaman pelampau berasaskan ideologi Islamic State (IS) ke dalam negara dan menubuhkan sel pengrekrutan dalam kalangan komuniti mereka.

“Antara aktiviti yang dikesan termasuk mengindoktrinasikan fahaman radikal, mengumpul dana untuk aktiviti keganasan dan merancang untuk menjatuhkan kerajaan sah di negara asal mereka,” jelasnya.

Saifuddin turut menegaskan bahawa Malaysia tidak akan sesekali dijadikan tempat perlindungan untuk mana-mana gerakan ekstremis.

“Saya ingin menegaskan bahawa Malaysia tidak akan menjadi tempat berlindung, apatah lagi medan anasir subversif untuk mana-mana gerakan ekstremis asing.

“Tindakan yang diambil ini membuktikan bahawa Kerajaan Madani amat serius dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana elemen yang boleh mengancam keselamatan negara,” tegasnya.

Beliau berkata, kejayaan ini juga membuktikan kecekapan dan profesionalisme pasukan keselamatan negara khususnya PDRM dalam memelihara kedaulatan, keharmonian, dan ketenteraman awam.

“Saya ulangi jaminan bahawa Kementerian Dalam Negeri akan terus memperkukuh keupayaan risikan dan menggandakan penguatkuasaan, serta bekerjasama dengan agensi-agensi keselamatan dalam dan luar negara untuk memastikan Malaysia kekal aman, stabil dan bebas daripada ancaman keganasan.

“Sebarang cubaan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi militan atau pusat transit gerakan ekstremis akan ditangani dengan tindakan tegas, pantas dan berkesan,” tegas Saifuddin lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

Yong Gesa Kerajaan Sabah Gantikan Jabatan Air Dengan Badan Berkanun Baharu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular