Oleh Erdie Ab Wahid
Putatan : Syarikat pelaburan milik penuh Kerajaan Sabah, SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) kini dianggarkan bernilai mencecah RM5 bilion berdasarkan nilai asset semasanya selepas tiga tahun ditubuhkan.
Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, syarikat yang ditubuhkan hasil Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas itu bermula dengan modal suntikan RM50 juta dari Kerajaan negeri.
“Daripada RM50 juta itu kita bergerak melabur dalam syarikat-syarikat Petronas dan mengikut penilaian terbaru syarikat RM50 juta ini sekarang bernilai RM5 bilion. Keunikan dia adalah ingin saya nyatakan bahawa kita ambil semua profesional dalam syarikat tersebut.

“Kedua, syarikat ini juga tidak ada campur tangan politik dan beroperasi 100 peratus komersial. Bukanlah bermakna kita tidak dengar tapi faktor yang bagi semua keputusan ialah komersial.
“Manakala pada tahun lalu, kita untung RM350 juta dengan sekarang syarikat ini bernilai dari segi asset sebanyak RM5 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika di temui selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Petagas, di sini, pada Jumaat.
Beliau yang juga Pengerusi SMJ Energy berkata demikian ketika diminta mengulas pencapaian semasa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah itu.
Katanya, pencapaian itu adalah hasil kerja keras tenaga profesional yang diambil bagi mengurus dan mengoperasikan syarikat berkenaan tanpa campur tangan politik.
“Operasi kita (SMJ Energy) 100 peratus adalah komersial, itulah faktor memberi keputusan (pencapaian) yang baik kepada syarikat ini.
“Malah, pada tahun lalu saja kita mencatat untung RM350 juta dengan hanya 30 orang kakitangan profesional yang menguruskan syarikat,” katanya.
Katanya, SMJ Energy kini turut memiliki pegangan 50 peratus di lapangan minyak PETRONAS menerusi Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang. – SABAH MEDIA