TAWAU: Seramai 86 penduduk Kampung Melati Burut, Merotai menarik nafas lega apabila kelulusan pewartaan tanah seluas 20.4 ekar sebagai Tanah Rizab Perkampungan sah berkuat kuasa mulai 14 Mei lalu, sekali gus menamatkan penantian lebih dua dekad.
Pewartaan tersebut disambut dengan penuh kesyukuran oleh penduduk kampung yang menolak dakwaan bahawa kelulusan itu merupakan janji politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Menurut seorang penduduk, Amirudin Ateng, kelulusan ini adalah bukti nyata kesungguhan pihak kerajaan membantu penduduk, dan beliau berharap agar pelantikan Ketua Kampung serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dapat dipercepatkan.
“Pentadbiran kampung penting bagi menyelesaikan urusan rasmi dengan jabatan kerajaan. Kita juga boleh mulakan cadangan projek kemudahan asas seperti jalan raya, dewan serbaguna dan rumah mesra rakyat. Kasihan anak-anak bila hujan, kasut sekolah penuh lumpur,” katanya.
Amirudin menyifatkan kelulusan ini sebagai hadiah Maal Hijrah buat penduduk kampung setelah menetap lebih 20 tahun di kawasan itu.
Penduduk lain, Juddin Abd Husin, 40, turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor atas keprihatinan meluluskan permohonan itu.
“Penduduk sangat menghargai usaha Tan Sri Liew Yun Fah, Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah yang mengambil masa hanya enam bulan untuk mendapatkan kelulusan pewartaan ini,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Naih Arshad, 47, berkata kelulusan itu jelas membuktikan ia bukan sekadar janji politik, kerana ia diberikan lebih awal daripada musim pilihan raya.
“Ini bukti Ketua Menteri menepati janji. Kami sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Tan Sri Liew Yun Fah serta pihak pengurusan kampung yang bekerja keras menjayakan usaha ini,” katanya.
Sementara itu, Imam Masjid Auraudah Asyakirin, Ibrahim Gega Radin turut menyifatkan kelulusan tersebut sebagai hasil kerja keras pihak pengurusan kampung dalam meyakinkan penduduk selepas kegagalan usaha terdahulu oleh pemimpin sebelum ini.
“Kami tunggu lebih 20 tahun… Alhamdulillah. Selepas ini, kami akan beri tumpuan untuk menubuhkan pentadbiran rasmi kampung supaya pelbagai bantuan kerajaan dapat disalurkan secara tersusun,” katanya.