HomeUtamaKerajaan Sabah komited perkukuh hubungan dengan Sarawak – Dr Joachim

Kerajaan Sabah komited perkukuh hubungan dengan Sarawak – Dr Joachim

Read Time:1 Minute, 55 Second

PENAMPANG: Kerajaan Sabah kekal komited untuk memperkukuh hubungan baik dan kerjasama erat dengan kerajaan Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memupuk perpaduan dan kemajuan serantau, kata Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri melihat kejohanan tersebut sebagai platform penting untuk memupuk persefahaman dan persahabatan antara rakyat Sabah dan Sarawak, khususnya dalam kalangan komuniti peribumi Kadazandusun dan Dayak.

“Kerajaan Sabah akan terus menggalakkan dan memperkukuh hubungan baik serta persefahaman bersama rakan-rakan kita di Sarawak.

“Dalam konteks ini, kejohanan golf ini merupakan wadah penting yang mencerminkan hasrat dan aspirasi kerajaan negeri, ” katanya ketika berucap pada acara Kaamatan – Gawai Golf Tournament 2025 yang berlangsung di Buhavan Square, Donggongon semalam.

Beliau menegaskan bahawa penganjuran acara sebegini bukan sahaja penting dalam memelihara ikatan budaya, malah memainkan peranan utama dalam menyatukan masyarakat di seluruh Borneo.

“Hubungan rapat dan kerjasama ini amat baik untuk kemajuan serta pembangunan berterusan kedua-dua wilayah,” tambahnya.

Menurut Dr Joachim, Sabah dan Sarawak meliputi sekitar 60 peratus keluasan tanah Malaysia, tetapi hanya menempatkan kira-kira 20 peratus daripada jumlah penduduk negara suatu faktor yang membuka peluang besar untuk kerjasama strategik yang lebih luas.

“Kejohanan ini bukan sahaja telah mencapai kematangan, malah berjaya mewujudkan hubungan lebih akrab antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI),” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada para pemenang edisi tahun ini dan menyatakan bahawa semangat kejohanan tidak mengenal kalah atau menang.

“Dalam semangat perpaduan dan persahabatan, tiada yang kalah, semuanya adalah pemenang. Kemenangan sebenar adalah pengukuhan hubungan antara komuniti kita,” ujarnya.

Dr Joachim turut merakamkan penghargaan kepada para peserta dari Sarawak atas sokongan dan penyertaan yang begitu memberangsangkan, yang disifatkan telah menyerikan acara dan menyumbang kepada kejayaannya.

Beliau juga menggesa agar tradisi sukan sempena Kaamatan-Gawai ini diteruskan, memandangkan ia bukan sekadar satu pertandingan, tetapi satu sambutan perpaduan dalam kepelbagaian.

“Kejohanan ini bukan sekadar permainan golf, ia adalah tentang memupuk semangat muhibah, memperkukuh nilai-nilai bersama dan membina masa depan yang lebih utuh,” katanya.

Turut hadir ialah Presiden KCCI, Datuk Ladislaus Maluda; Presiden DCCI, Dato’ Allan Keripin; Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Carl Moosom; Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Miro Simuh; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Lembaga Pengarah SME Corp di bawah KUSKOP, Bell Agan serta Pengerusi Penganjur, Edmond Lo.

RELATED ARTICLES
Utama

Persatuan Alumni KTYS terus aktif perkasa peranan bekas pelajar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular