TUARAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa Kerajaan Negeri hari ini adalah sebuah kerajaan yang sentiasa peka terhadap keperluan rakyat.
Beliau berkata pelbagai projek pembangunan dan bantuan telah dan sedang dilaksanakan di seluruh negeri demi kesejahteraan rakyat, termasuk di kawasan Sulaman yang diwakilinya.
“Di Sulaman sahaja, banyak projek pembangunan telah siap dilaksanakan termasuk Rumah Mesra SMJ, kerja-kerja naik taraf jalan raya, jambatan dan jeti. Lebih banyak lagi projek sedang dirancang.
“Insya-Allah, sekiranya kerajaan GRS diberi peluang sekali lagi untuk mentadbir negeri ini, lebih banyak projek akan dilaksanakan termasuk jambatan simen Labuaya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Suang Olung 2025, pelancaran Persatuan Pembangunan Lotud Sabah (SALDA) dan perasmian Dewan Orang Tua Kari Bin Guban di Kampung Tutu Selupoh, hari ini.
Dalam ucapannya, Hajiji turut menyeru masyarakat Dusun Suang Lotud agar terus bersatu padu dan mengekalkan semangat gotong-royong demi masa depan komuniti.
“Kita mesti kekal bersatu dan terus memupuk semangat kerjasama demi memastikan masa depan yang lebih cerah untuk komuniti ini.
“Saya mahu suku Dusun Suang Lotud di Tuaran menjadi satu komuniti yang hebat dan tidak ketinggalan,” katanya.
Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, untuk mencapai kemajuan, masyarakat Suang Lotud perlu membina pemikiran yang positif.
“Melalui cara ini, saya yakin penuh masyarakat Dusun Suang Lotud mampu setanding dengan bangsa-bangsa etnik yang lain di Sabah,” katanya sambil menambah bahawa budaya dan tradisi masyarakat itu perlu terus dipelihara demi generasi akan datang.
Pesta Kaamatan Suang Olung 2025 anjuran SALDA kali ini melibatkan penyertaan sembilan kampung iaitu Kampung Tutu, Penampang Baru, Limposu, Roun, Kiwatu, Labuaya, Selupoh, D’Angki dan D’Mulus.