HomePolitikGagasan Rakyat Apas tubuh tiga lagi cawangan baharu, tanda sokongan rakyat semakin...

Gagasan Rakyat Apas tubuh tiga lagi cawangan baharu, tanda sokongan rakyat semakin kukuh

Read Time:1 Minute, 55 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Apas terus mengukuhkan kedudukannya apabila mengumumkan penubuhan tiga cawangan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 183 cawangan iaitu antara yang tertinggi di Sabah.

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, semasa merasmikan Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Apas di Dewan Masyarakat Tawau hari ini.

“Setakat ini kita telah mendaftarkan 180 cawangan, dan tiga lagi akan kita daftarkan dalam masa terdekat. Ini menunjukkan sambutan rakyat di Apas terhadap perjuangan parti semakin meningkat,” kata beliau.

Menurut Nizam, pertambahan cawangan ini bukan sahaja mencerminkan minat rakyat yang semakin mendalam terhadap perjuangan Gagasan Rakyat, malah menjadi petunjuk kukuh bahawa sokongan akar umbi kepada GRS semakin mengukuh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Apas kini mempunyai lebih 11,000 ahli berdaftar, dengan hampir 10,000 daripadanya adalah pengundi di DUN Apas, memberi kelebihan strategik kepada GRS di kawasan itu.

“Alhamdulillah, kita telah bersiap sedia sepenuhnya. Semua bilik gerakan di peringkat pusat daerah mengundi telah ditubuhkan dan jentera telah diaktifkan. Kita juga giat melaksanakan program di peringkat akar umbi bagi mengenalpasti pengundi dan memastikan mereka dapat dikeluarkan semasa pilihan raya kelak,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut berpuas hati terhadap semangat dan kerjasama semua jawatankuasa jentera GRS Apas, yang menurutnya kini hanya menunggu isyarat rasmi pembubaran dewan undangan negeri Sabah.

Beliau menegaskan bahawa jentera pilihan raya GRS Apas berada dalam keadaan bersiap sedia sepenuhnya, dengan bilik gerakan dan jawatankuasa jentera di semua pusat daerah mengundi telah diaktifkan.

“Kita hanya menunggu bila gendang pilihan raya dipalu,” katanya.

Ditanya mengenai pendirian Parti Bersatu Sabah (PBS) yang enggan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), Nizam berkata, pihaknya menghormati pandangan tersebut dan menegaskan bahawa segala keputusan berkaitan pilihan raya akan dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang akan dipengerusikan oleh Ketua Menteri merangkap Presiden GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Kami yakin di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji selaku Presiden GRS dan Ketua Menteri Sabah, rakyat semakin yakin dengan hala tuju Sabah Maju Jaya yang telah banyak membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada negeri ini,” tambah beliau.

Persidangan ini dihadiri lebih 3,000 ahli termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis, dan dianggap sebagai persidangan terakhir sebelum menghadapi PRN, memandangkan tempoh kerajaan negeri dijangka tamat November ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Yong Gesa Kerajaan Sabah Gantikan Jabatan Air Dengan Badan Berkanun Baharu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular