HomeUtamaDua individu tempatan ditahan miliki ekstasi dan syabu

Dua individu tempatan ditahan miliki ekstasi dan syabu

Read Time:1 Minute, 21 Second

PENAMPANG: Polis berjaya menahan dua individu tempatan termasuk seorang wanita dalam operasi berasingan melibatkan rampasan dadah disyaki jenis ekstasi dan syabu di daerah Penampang dan Putatan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, dalam tangkapan pertama pada 27 Jun sekitar jam 9.45 malam, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sabah telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun di hadapan lobi sebuah kondominium di Penampang.

“Hasil pemeriksaan menemui enam paket plastik disyaki mengandungi serbuk dadah jenis ekstasi seberat kira-kira 228 gram dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM4,800. Turut dirampas adalah sebuah kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek kini direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup (30 tahun) serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.

Dalam serbuan berasingan pada 28 Jun sekitar jam 2.00 petang, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Penampang telah menahan seorang wanita tempatan berusia 35 tahun di kawasan perumahan di Putatan.

“Pemeriksaan menemukan tiga paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 5.22 gram. Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan sebatan tidak kurang tiga kali, serta Seksyen 15(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Sammy turut menegaskan bahawa pihak polis akan terus komited memerangi jenayah dan penyalahgunaan dadah di daerah ini serta menyeru masyarakat agar tampil menyalurkan maklumat demi keselamatan bersama.

RELATED ARTICLES
Utama

Yong Gesa Kerajaan Sabah Gantikan Jabatan Air Dengan Badan Berkanun Baharu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular