HomeUtamaDBP fokus perkukuh Bahasa Melayu dan pelihara bahasa sukuan - Fadhlina

DBP fokus perkukuh Bahasa Melayu dan pelihara bahasa sukuan – Fadhlina

Read Time:1 Minute, 50 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus komited dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu serta memelihara bahasa-bahasa sukuan, khususnya di Sabah, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Tambahnya, antara tumpuan utama DBP ketika ini adalah pengenalan Kerangka Standard Bahasa Melayu yang akan menjadi rujukan nasional bagi memperkukuh penggunaan bahasa kebangsaan dalam pelbagai bidang.

“Kerangka ini dilihat sebagai iltizam penting kerajaan untuk memastikan bahasa Melayu bukan hanya kekal sebagai bahasa kebangsaan, tetapi juga menjadi bahasa perpaduan, bahasa ilmu, dan teras jati diri rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini, yang telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmy Yahya, yang mewakili Ketua Menteri Sabah; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Al-Hambra Tun Juhar; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Amin Hashim; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr. Anwar Ridhwan; dan Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari, serta para sasterawan negara.

Fadhlina memaklumkan bahawa DBP juga sedang memperhalusi pindaan terhadap akta sedia ada bagi memberikan kuasa yang lebih luas kepada agensi itu, termasuk dalam aspek penguatkuasaan terhadap penggunaan bahasa Melayu yang betul dan berkesan di semua peringkat.

Beliau turut mengumumkan pengembalian semula Anugerah Public Bank untuk Bahasa, yang telah lama terhenti, sebagai dorongan kepada inisiatif peningkatan mutu penggunaan bahasa dan pengiktirafan pihak swasta dalam agenda kebahasaan negara.

Fadhlina juga menerangkan bahawa kelangsungan bahasa sukuan di Sabah turut diberikan perhatian serius, khususnya apabila generasi muda kini semakin kurang menguasai bahasa etnik masing-masing. Antara bahasa sukuan yang disebut termasuk Kadazan, Bajau, Iranun, Rungus, Lotud, Kimaragang, Lundayeh, Serudung, Tombonuo dan lain-lain, yang menurut beliau, bergantung kepada generasi muda sebagai pewaris terakhir.

“Sebagai langkah pelestarian, DBP telah melaksanakan pelbagai projek termasuk penyelidikan kosa kata dan sastera rakyat, kajian adat, pembangunan perkamusan dan glosari, serta pangkalan data digital bahasa-bahasa sukuan.

“Inisiatif ini turut dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah, melalui peruntukan di bawah Inisiatif Belanjawan 2025, selaras dengan ucapan Perdana Menteri yang menyentuh usaha memelihara bahasa minoriti dan karya kreatif dalam negara,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Yong Gesa Kerajaan Sabah Gantikan Jabatan Air Dengan Badan Berkanun Baharu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular