Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mencadangkan pelaksanaan Projek Jiwa Murni dengan kerjasama Kementerian Pertahanan yang merangkumi pembinaan bangunan sekolah di Serudong Laut, Tawau.
Sebagai langkah tambahan, KPM turut akan mewujudkan program khas dinamakan ProKhas bagi memperluas akses pendidikan kepada anak-anak di kawasan itu serta memastikan tiada keciciran dalam kalangan murid.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu adalah hasil pelaksanaan program Tindak Susul Parlimen di Kalabakan yang mengenal pasti keperluan mendesak bagi kemudahan pendidikan di kawasan berkenaan.
“Saya telah turun ke lokasi sebelum ini dan mendapati akses ke kawasan itu sangat baik. Tapak pembinaan sekolah juga sesuai dan kita sedang mempercepatkan proses pembinaan. Sementara menunggu pembinaan siap, program interim telah dimulakan seperti kelas pembacaan dan pengajian yang dijalankan oleh guru-guru,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini, yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Menurut Fadhlina, jumlah murid yang hadir dalam kelas khas di Serudong Laut setakat ini dianggarkan antara 20 hingga 30 orang, dan KPM sedang mengumpul data lengkap termasuk dari kawasan sekitarnya bagi memperluas penyertaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerja-kerja baik pulih dan pembangunan lebih 300 sekolah daif di Sabah sedang berjalan lancar.
“Progres sangat baik, lebih 200 telah siap dibina. Selebihnya berada dalam fasa pra-bina dan pelaksanaan secara berterusan.” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Sabah tidak pernah diketepikan dalam usaha reformasi pendidikan nasional, malah negeri itu menunjukkan prestasi membanggakan dalam keputusan STPM baru-baru ini.
“Lebih 146 pelajar di Sabah memperoleh keputusan cemerlang 4.0, ini bukti keberkesanan reformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan. Ia menunjukkan potensi pendidikan di Sabah sangat tinggi,” katanya.
Fadhlina menambah, usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan akses pendidikan berkualiti dinikmati seluruh rakyat, menerusi pendekatan ‘Whole of Government’ yang melibatkan kerjasama pelbagai kementerian.