Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Pelancongan Berasaskan Komuniti (PBK) adalah satu gerakan dinamik memelihara budaya, melindungi alam sekitar dan mewujudkan peluang ekonomi kepada rakyat tempatan, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew.
Christina berkata, pendekatan itu menjadi antara langkah strategik Sabah dalam memperkukuh sektor pelancongan negeri menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan kempen Explore Sabah 2026/2027.
“PBK bukan hanya tentang menarik pelancong ke kampung-kampung, tetapi juga memperkasa komuniti untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem pelancongan secara aktif dan berkesan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Ekspo Pelancongan Berasaskan Komuniti (PBK) 2025 yang berlangsung di Suria Sabah Shopping Mall, dekat sini.
Acara itu berlangsung dari 28 hingga 29 Jun 2025, melibatkan 40 gerai pameran dan 87 peserta yang mempamerkan pelancongan berasaskan komuniti dari seluruh Sabah, serta penyertaan dari Pulau Pinang, Thailand, Taiwan dan Indonesia.
Mengulas lanjut, beliau berkata sektor pelancongan perlu menekankan nilai dan kualiti, bukan sekadar jumlah kehadiran pelancong.
“Kita tidak mahu berlakunya pelancongan berlebihan (over-tourism) atau pemasaran yang terlalu agresif. Terlalu banyak promosi boleh memberi kesan buruk kepada budaya dan alam sekitar.
“Kita juga mahu menaik taraf kemudahan secara berperingkat, dan dalam masa yang sama mengekalkan keaslian serta kelestarian destinasi,” katanya.
Christina berkata, PBK turut membuka peluang baharu kepada kawasan luar bandar yang sebelum ini kurang mendapat perhatian pelancong, namun kini mula dikenali menerusi promosi dan perkongsian pengalaman oleh pelancong antarabangsa.
“Ini membuktikan bahawa kerjasama antara komuniti dan kerajaan negeri mampu menjadikan produk tempatan sebagai tarikan antarabangsa,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Julinus Jeffrey Jimit, menggariskan matlamat pembangunan pelancongan berasaskan komuniti di Sabah.
“Pada tahun 2023, sebanyak 18 daerah aktif telah menjana kira-kira RM6 juta. Kami menjangkakan sekitar RM7 juta pada 2024. Matlamat kami adalah untuk meningkatkan pendapatan komuniti melepasi garis kemiskinan,” katanya.
Julinus turut menyatakan bahawa PBK selari dengan beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), termasuk SDG 1 (Tiada Kemiskinan), SDG 2 (Tiada Kelaparan), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), dan SDG 11 (Komuniti Lestari).
Beliau menegaskan bahawa kejayaan PBK memerlukan visi bersama serta kerjasama erat daripada semua pihak berkepentingan.
Acara ini dianjurkan bersama oleh STB dan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).
Turut hadir, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai.