Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Seorang wanita mengalami kecederaan fizikal selepas bergelut dengan suaminya akibat salah faham di kediaman mereka.
Mangsa bukan sahaja dipukul sehingga cedera, malah turut diugut dengan senjata tajam dan kata-kata ancaman oleh suaminya.
Bimbang akan keselamatannya, wanita tersebut tampil membuat laporan di balai polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner (ACP) Jasmin Hussin berkata, bertindak atas laporan tersebut, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai yang diketuai oleh Ketua Balai, SM Fredolen Biin telah berjaya mengesan dan mengenal pasti suspek berusia 44 tahun, seorang warga tempatan di Kampung Haji Matahir.
“Suspek bagaimanapun cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak polis, namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan anggota bertugas.
“Dalam kejadian itu, polis turut merampas sebilah kapak dan sebilah pisau yang disyaki digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jasmin berkata, suspek serta beberapa barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumahtangga 1994.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai agar tidak bertindak ganas dalam menyelesaikan sebarang isu atau konflik rumahtangga, sebaliknya, mereka digalakkan untuk menyelesaikan secara berhemah atau mendapatkan bantuan daripada jabatan berkaitan.