Semporna : Usahawan muda, Azirah Ramlee,22, berjaya dinobatkan sebagai Ratu Lepa 2025 sempena Sambutan Regatta Lepa yang berakhir di sini baru-baru ini.
Kemenangan itu membolehkan Azirah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar Datuk Seri PanglimaChristina Liew yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Selain itu, turut dianugerahkan adalah Tokoh Regatta Lepa yang diberikan kepada Pengarah pertama Institut Latihan Awam Negeri Sabah (INSAN) Datuk Dr Sa’adillah Abdillah, 68.
Anugerah tersebut diberikan bagi mengenang jasa beliau semasa berkhidmat dalam Kerajaan Negeri dan juga usaha beliau dalam memartabatkan budaya masyarakat di negeri ini khususnya Semporna.
Beliau menerima sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM10,000. Manakala pertandingan Lepa Tradisi yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 dimenangi oleh Muhammad Jaya Biskal mewakili Kampung Sungai Gajah Darat.
Dalam majlis itu jug, Pegawai Daerah Alexander Liew menyerahkan Sijil Malaysia Book Of Record kepada Christina selepas mencipta rekod persembahan Igal teramai iaitu 1,613 orang penari selama sejam tanpa henti pada 21 Jun lalu.
Hadir sama dalam majlis itu Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Datuk Isnin Aliasnih@ Liasnih dan Pembantu Menteri Kewangan Datuk Tan Lee Fat.