HomeUtamaReDI perluas penggunaan e-wallet ke luar bandar, capai lebih 22,000 peniaga berdaftar

ReDI perluas penggunaan e-wallet ke luar bandar, capai lebih 22,000 peniaga berdaftar

Read Time:2 Minute, 36 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperluas inisiatif Retail Digitalisation Initiative (ReDI) bagi membina ekosistem masyarakat tanpa tunai, khususnya di kawasan luar bandar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ReDI bertujuan memperkenalkan kaedah perniagaan berasaskan digital termasuk penggunaan dompet elektronik (e-wallet) dalam kalangan peniaga kecil dan sederhana di seluruh negara.

Katanya, ReDI menawarkan pelbagai manfaat termasuk pengurusan kewangan yang lebih cekap, kepelbagaian kaedah pembayaran serta sistem inventori yang berkesan.

“Usaha ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama Bank Negara Malaysia, PayNet serta penyedia e-wallet berdaftar seperti Touch ‘n Go eWallet, GrabPay, ShopeePay, MAE Maybank, Boost dan SPay Global,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Flag Off Program Kembara ReDI Peringkat Zon Sabah dan Pelancaran Mural ReDI Pertama di Borneo di Pekan Papar pada Selasa.

Menurut Armizan, bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif ini di lapangan, KPDN menganjurkan Kembara ReDI Borneo 2025, sebuah program jelajah selama 10 hari yang bermula pada 26 Jun di Sematan, Sarawak dan akan berakhir pada 5 Julai di Tawau, Sabah.

“Program ini memberi pendedahan secara langsung kepada peniaga luar bandar mengenai operasi perniagaan digital dan penggunaan e-wallet dalam transaksi seharian.

“Ini sebahagian daripada usaha kita membina ekosistem ‘cashless society’ yang inklusif dan menyeluruh, agar golongan peniaga luar bandar tidak ketinggalan dalam arus digitalisasi,” katanya.

Sejak pelancarannya pada 27 Ogos 2022 hingga 31 Mei 2025, seramai 22,368 peniaga telah mendaftar dengan platform e-wallet di seluruh negara, sekali gus melepasi sasaran awal 15,000 peniaga berdaftar menjelang 2025 seperti ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mei 2025, sebanyak 3,229 peniaga telah mendaftar, termasuk 1,120 peniaga di Sabah dan 1,799 di Sarawak.

Tambah Armizan, setakat hari kelima Kembara ReDI Borneo 2025, jumlah keseluruhan peniaga berdaftar di Sabah dan Sarawak telah meningkat kepada 3,708 orang, membuktikan penerimaan positif terhadap inisiatif ini.

Ditanya mengenai kemungkinan penambahan premis bagi pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Armizan menjelaskan bahawa kementeriannya sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan selaku agensi pelaksana utama program tersebut.

“Sebenarnya, agensi pelaksana kepada program SARA ini adalah Kementerian Kewangan. Namun begitu, kita bekerjasama dalam konteks tanggungjawab kementerian yang memfokuskan kepada sektor peruncitan. Kita memang mengenal pasti kawasan-kawasan yang perlu ditambah baik dan diambil maklum untuk ditingkatkan capaian pelaksanaan program.

Setakat ini, Kementerian Kewangan tidak mempunyai isu besar untuk menambah premis-premis baharu bagi membolehkan rakyat mendapat manfaat daripada program ini,” katanya.

Menurut beliau, peningkatan jumlah premis berdaftar yang melaksanakan program SARA adalah signifikan sejak tahun lalu.

“Sebagai contoh, pada tahun 2024 hanya terdapat sekitar 700 premis yang berdaftar untuk program ini, tetapi kini jumlah itu telah meningkat hampir 4,000 premis.

“Kerajaan tidak menghadapi masalah untuk terus menambah premis, malah kita kini sedang mengumpul data melalui cawangan-cawangan KPDN bagi mengenal pasti daerah atau kawasan kecil yang masih belum mempunyai atau masih kekurangan premis yang boleh melaksanakan sistem MyKasih SARA.

“Ia tidak terhad kepada pasar raya besar sahaja, sebaliknya terbuka kepada pelbagai jenis premis. Kita terbuka kepada sebanyak mungkin penyertaan, cuma pelaksanaannya dibuat secara berperingkat,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah perkukuh akses pendidikan berkualiti, lebih 100 pelajar cemerlang diraikan esok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular