HomeUtamaGagal lindungi Siberian Husky: Pemilik dikenakan bon berkelakuan baik 2 tahun

Gagal lindungi Siberian Husky: Pemilik dikenakan bon berkelakuan baik 2 tahun

Read Time:3 Minute, 4 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dilepaskan dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, kelmarin, selepas mengaku bersalah kerana gagal melindungi anjing peliharaannya daripada mengalami penganiayaan.

Brandon Tim Tony, 24, dikenakan bon RM2,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Hakim Hurman Hussain turut memerintahkan Brandon untuk menghadiri satu sesi latihan kesedaran kebajikan haiwan yang akan dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.

Mengikut pertuduhan, Brandon didakwa tidak menjalankan jagaan dan pengawasan yang munasabah yang berhubung dengan kebajikan haiwan atau perlindungan haiwan daripada penganiayaan, pada 31 Disember 2024 jam lebih kurang 1.30 petang, di sebuah rumah di Taman Donggongon, Penampang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 22(1) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) Enakmen sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM75,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, pada April 14 lalu, Brandon mengaku bersalah atas pertuduhan sama, namun pengakuannya ditolak selepas beliau mempertikaikan fakta kes yang dibacakan terhadapnya.

LINK BERITA TERDAHULU: https://sabahmedia.com/2025/04/14/gagal-jaga-kebajikan-anjing-peliharaan-pemilik-anjing-didakwa/

Pegawai Pendakwa, Francis Palikat, memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh, melalui peguamnya, telah menghantar surat representasi kepada Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah bagi memohon agar anak guamnya dilepaskan dengan bon berkelakuan baik.

Pihak pendakwaan turut mengesahkan bahawa representasi itu telah diterima.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian sekitar jam 11.30 pagi, Brandon mendapati anjing peliharaannya, seekor Siberian Husky jantan berumur empat tahun bernama Coby, telah hilang dari kawasan halaman rumahnya yang berpagar.

Kira-kira jam 1.30 petang, Brandon menemui anjingnya dalam keadaan tidak bermaya dan berlumuran darah di kepala serta mulut, di kawasan berpagar di belakang sebuah rumah yang terletak 50 hingga 60 meter dari rumahnya.

Ibu Brandon kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada hari sama jam 4.41 petang, manakala pemilik rumah tersebut, Yong Chen Fah, terlebih dahulu membuat laporan sekitar jam 2.41 petang.

Hasil pemeriksaan lapangan mendapati pagar rumah Brandon cukup tinggi dan kukuh untuk menghalang anjing daripada melarikan diri. Tiada celahan yang membolehkan anjing menyelinap keluar, dan pagar juga dilengkapi dengan mekanisme kunci yang sukar dibuka dari luar.

Namun begitu, pemilik tidak memasang tanda amaran “Awas Anjing”, dan tidak menyediakan tali atau kalung leher yang sesuai bagi tujuan kawalan semasa ketiadaannya di rumah. Rumah itu juga tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

Sementara itu, pemeriksaan terhadap rumah Yong mendapati pagar di kawasan kandang ayam belanda di bahagian belakang rumah tidak cukup tinggi dan tidak kukuh, dengan celahan besar yang membolehkan anjing menyelinap masuk. Rumah itu juga tidak mempunyai sistem keselamatan seperti CCTV.

Semasa siasatan Yong mengaku telah mencederakan anjing tersebut dengan membaling batu dan memukul kepala anjing tersebut sebanyak empat hingga lima kali dengan menggunakan sebatang kayu sehinggalah anjing itu terbaring serta tidak bermaya kerana telah masuk di kawasan kandang ternakannya dan menyerang ayam turkey peliharaannya.

Manakala hasil dari pemeriksaan dan rawatan yang dibuat oleh doktor Veterinar yang merawat anjing tersebut, anjing tersebut telah mengalami “Optic nerve neuritis” di kornea mata kanan disebabkan kecederaan traumatic.

Selain itu terdapat juga kecederaan di bahagian dahi, patah di gigi kiri molar dan ulser yang teruk di mata kanan. Anjing tersebut juga telah menjalani rawatan “corneal repair” dan “third eyelid flap” disebabkan mata kanannya telah pecah.

Kegagalan Brandon untuk menjaga dan mengawasi anjing peliharaannya telah menyebabkan haiwan tersebut mengalami kecederaan akibat kelalaian.

Brandon diwakili oleh peguam Batholomew Jingulam.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Yong, seorang lelaki warga emas, dijatuhi hukuman denda RM4,000 selepas mengaku bersalah mencederakan anjing Siberian Husky yang memasuki kawasan rumahnya dan membunuh ayam turkey peliharaannya.

LINK BERITA TERDAHULU: https://sabahmedia.com/2025/04/07/pukul-anjing-kerana-bunuh-ayam-turkey-warga-emas-didenda-rm4000/

RELATED ARTICLES
Utama

Yong Gesa Kerajaan Sabah Gantikan Jabatan Air Dengan Badan Berkanun Baharu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular