Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Mazlan Joehari Manan hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan berunsur fitnah dan hasutan jahat terhadap Ketua Menteri Sabah.
Kenyataan tersebut didakwa dibuat oleh seorang ahli perniagaan, Albert Tei dalam satu sidang media yang diadakan di perkarangan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu semalam.
Sehubungan dengan itu, satu laporan polis mengenai kenyataan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu petang tadi.
Menurut Mazlan, kenyataan tersebut bukan sahaja bersifat palsu dan berniat jahat, malah turut menghina Ketua Menteri Sabah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), serta Jabatan Peguam Negara (JPN).
“Memandangkan kes Albert dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kini sedang dibicarakan di Mahkamah, beliau tidak seharusnya membuat kenyataan kepada media yang memberi persepsi negatif serta memburukkan pihak-pihak lain secara langsung mahupun tidak langsung,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan Albert itu boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap mahkamah atau ‘subjudis’, kerana mencampuri urusan perbicaraan yang sedang berlangsung.
“Laporan polis berkenaan dibuat agar siasatan dan tindakan penguatkuasaan undang-undang yang sewajarnya dapat diambil terhadap Albert,” tegasnya.