HomeUtamaKerajaan Sabah komited tingkat akses Kesihatan luar bandar

Kerajaan Sabah komited tingkat akses Kesihatan luar bandar

Read Time:1 Minute, 48 Second

Kota Marudu : Kerajaan Sabah sentiasa komited untuk memastikan rakyat di negeri ini khususnya yang tinggal di luar bandar mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan menyeluruh.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, sebanyak 100 unit mesin hemodialisis telah disumbangkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk diagihkan ke hospital-hospital dan klinik di seluruh negeri Sabah.

Katanya, inisiatif itu dihasilkan menerusi Skim Bantuan Kesihatan Sabah Maju Jaya (SMJ) Sabah Sejahtera.

“Dari jumlah itu, sebanyak lapan unit mesin hemodialisis telah diterima dan diagihkan kepada Hospital Kota Marudu sebanyak dua unit; Hospital Kudat (4 unit) dan Hospital Pitas menerima dua unit.

“Sumbangan ini bukan sahaja menambah kapasiti rawatan di fasiliti kesihatan kita, malah ia memberi sinar harapan kepada pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan hemodialisis secara berkala.

“Dengan adanya penambahan mesin ini, kita berharap senarai menunggu akan dapat dikurangkan dan rawatan dapat diberikan dengan lebih cepat dan selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Bangunan Jabatan Radiologi dan Pelancaran Peralatan Multidetector Computed Tomography (MDCT) Scanner di Hospital Kota Marudu, serta Majlis Penyerahan Mesin Hemodialisis kepada hospital-hospital kluster di kawasan utara Sabah di sini.

James berkata, inisiatif itu  adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri Sabah untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam aspek kesihatan, seperti yang digariskan dalam pelan pembangunan Sabah Maju Jaya.

“Kita sedar bahawa kos rawatan hemodialisis bukan sahaja tinggi,  malah  boleh  membebankan  pesakit  dan  keluarga  mereka, khususnya di kawasan luar bandar. Justeru, sumbangan ini diharapkan dapat membantu meringankan beban kewangan mereka dan dalam masa yang sama meningkatkan kualiti hidup pesakit-pesakit yang terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, James berkata, MDCT Scanner yang digunakan Unit Radiologi Hospital Kota Marudu merupakan satu penambahan penting kepada keupayaan hospital dalam menyediakan rawatan berkualiti tinggi.

Katanya, dengan adanya MDCT ini, akan memanfaatkan kepada seluruh penduduk di daerah Kota Marudu, Pitas dan Kudat yang berjumlah 192,598. Merujuk kepada beban kerja yang direkodkan setiap tahun.

Menurutnya, anggaran pesakit yang memerlukan pemeriksaan CT Scan dan dihantar ke hospital berpakar di Kota Kinabalu adalah berjumlah 1500-1800 orang setahun bagi tiga daerah tersebut. Jumlah ini sentiasa meningkat setiap tahun. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Yong Gesa Kerajaan Sabah Gantikan Jabatan Air Dengan Badan Berkanun Baharu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular