Oleh Wan Azrain Adnan
KUALA LUMPUR, 30 Jun 2025 – Industri pelancongan domestik Malaysia terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan, mencerminkan kedudukan ekonomi negara yang semakin kukuh pasca pandemik.
Menurut Survei Pelancongan Domestik 2024 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pelancongan domestik merekodkan lonjakan ketara sebanyak 21.7%, daripada 213.7 juta pelawat pada 2023 kepada 260.1 juta pelawat pada 2024. Perbelanjaan pelawat turut meningkat sebanyak 25.7%, daripada RM84.9 bilion kepada RM106.7 bilion bagi tempoh yang sama.
Lebih ketara, dalam tempoh lima tahun sejak 2020, jumlah pelawat domestik melonjak hampir dua kali ganda daripada 131.7 juta kepada 260.1 juta. Nilai perbelanjaan pula melonjak 164% daripada RM40.4 bilion kepada RM106.7 bilion, menunjukkan pemulihan dan pertumbuhan pesat dalam sektor ini.
Berdasarkan definisi DOSM, pelawat domestik merangkumi penduduk (warganegara atau bukan) yang telah menetap di Malaysia sekurang-kurangnya setahun dan melakukan perjalanan sama ada untuk urusan peribadi, perniagaan atau rekreasi. Pelawat ini terbahagi kepada dua kategori — pelancong (yang menginap sekurang-kurangnya satu malam) dan pelawat harian (yang tidak bermalam dan berada kurang daripada 24 jam di destinasi).
Kemajuan pelancongan ini dilihat seiring dengan pengukuhan ekonomi negara — kadar pengangguran dan inflasi yang rendah serta peningkatan pelaburan. Ini membolehkan rakyat mempunyai pendapatan yang lebih stabil dan berkemampuan untuk melancong serta berbelanja, terutamanya untuk membeli-belah.
Daripada jumlah perbelanjaan RM106.7 bilion, sebanyak 37.4% adalah untuk membeli-belah, meningkat daripada 36.3% pada tahun sebelumnya. Sebaliknya, perbelanjaan bagi makanan dan minuman (menurun kepada 16.2%), bahan api kenderaan (12.7%) dan penginapan (11.2%) menunjukkan sedikit penurunan peratusan.
Laporan juga mendapati 90.9% pelawat domestik menggunakan kenderaan persendirian sebagai mod pengangkutan utama. Hanya sebahagian kecil menggunakan pengangkutan awam darat seperti teksi (4.1%), bas (3.9%) dan kereta api (1.1%).
Kebergantungan tinggi kepada kenderaan persendirian menyumbang kepada kesesakan jalan raya, terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah. Hal ini sewajarnya menjadi perhatian kerajaan untuk memperluas dan menambah baik sistem pengangkutan awam bagi mengurangkan tekanan terhadap jaringan jalan sedia ada.
Dari segi taburan pelawat domestik, negeri Perak muncul sebagai destinasi utama, diikuti Selangor, Johor, Pahang dan Kedah. Antara lokasi popular termasuk tempat membeli-belah dan rekreasi seperti Teluk Batik, Pangkor, Sunway Pyramid, IOI City Mall, Legoland, Cameron Highlands, Pantai Cenang dan Dataran Lang.
Di Sabah pula, destinasi tumpuan pelancong tempatan termasuk Imago Shopping Mall, One Borneo Hypermall dan Suria Sabah. Daerah yang paling banyak dikunjungi ialah Kota Kinabalu, Ranau, Tawau, Sandakan dan Keningau — sebahagian besarnya turut menampilkan pusat beli-belah sebagai tarikan utama.
Sabah turut mencatat prestasi cemerlang dengan peningkatan 28% dalam jumlah pelawat domestik, iaitu daripada 16.08 juta pelawat pada 2023 kepada 20.59 juta pada 2024 — lebih tinggi daripada purata nasional 21.7%. Daripada jumlah itu, 6.081 juta adalah pelancong bermalam, dengan ramai datang dari Selangor (770,900), Sarawak (247,500), Pulau Pinang (181,900) dan Johor (168,900).
Peningkatan ini adalah selari dengan kenyataan Ketua Menteri Sabah yang memaklumkan bahawa sektor pelancongan kekal sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negeri, dengan sumbangan sebanyak 15% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah bagi tahun 2024. Pada tahun 2023 sahaja, sektor ini menyumbang RM13.1 bilion kepada ekonomi Sabah dan menyediakan lebih 380,000 peluang pekerjaan.