HomeUtamaJoachim nafi terlibat skandal rasuah lesen lombong mineral

Joachim nafi terlibat skandal rasuah lesen lombong mineral

Read Time:1 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan beliau dengan skandal rasuah melibatkan lesen perlombongan mineral di Sabah seperti dilaporkan di salah sebuah portal berita online baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah itu menyifatkan laporan berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab dan bermotif jahat untuk mencemarkan reputasi serta menjatuhkan kredibilitinya.

“Saya menolak sepenuhnya dakwaan yang mengaitkan saya dengan skandal tersebut. Saya melihat laporan itu sebagai sangat tidak bertanggungjawab dan berniat buruk,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Joachim yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan bahawa beliau tidak akan terganggu dengan sebarang cubaan untuk menjejaskan nama baiknya.

Sebaliknya, beliau akan terus memberi tumpuan terhadap tanggungjawabnya sebagai anggota Kabinet Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kundasang.

“Saya tetap ikhlas dan komited menjalankan tugas sebaik mungkin demi kepentingan rakyat,” ujarnya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menyeru semua ahli dan penyokong PBS supaya kekal tenang, bersatu dan fokus dalam perjuangan parti.

“Marilah kita terus bekerja keras demi rakyat. Masih banyak yang perlu kita lakukan. Kita harus terus mendengar, mengenal pasti ruang penambahbaikan dan berusaha membawa pembangunan kepada negeri tercinta ini,” katanya.

Joachim menegaskan akan menghadapi situasi tersebut dengan penuh kejujuran dan ketelusan, sambil menghargai sokongan serta kepercayaan berterusan daripada rakyat.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah perkukuh akses pendidikan berkualiti, lebih 100 pelajar cemerlang diraikan esok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular