HomeUtamaProjek IPDAS fasa 3 berjalan lancar, dijangka siap menjelang 2026

Projek IPDAS fasa 3 berjalan lancar, dijangka siap menjelang 2026

Read Time:1 Minute, 43 Second

Keningau : Projek pembinaan Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) fasa ketiga yang kini giat dibangunkan telah mencapai kemajuan fizikal pembangunan sebanyak 50 peratus dan berada dalam jadual yang ditetapkan.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu kenyataan memaklumkan, KKR terus komited dalam memperkukuhkan pembangunan infrastruktur pendidikan di Sabah dan projek berkenaan tidak berdepan isu kritikal.

KKR menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa komited memastikan kerja-kerja pembinaan dilaksanakan mengikut perancangan, kualiti dan spesifikasi yang telah ditetapkan.

“KKR yakin bahawa apabila projek ini siap sepenuhnya kelak, ia bukan sahaja akan memperkasa sektor pendidikan Islam, malah turut menyumbang secara menyeluruh kepada pembangunan sosio-ekonomi dan kesejahteraan komuniti setempat, khususnya di kawasan pedalaman Keningau dan sekitarnya.

“Projek ini merupakan antara usaha berterusan Kerajaan bagi menyediakan kemudahan pembelajaran yang selesa, moden dan kondusif di negeri ini, khususnya di kawasan pedalaman. 

“Projek berimpak tinggi ini dilaksanakan melalui kaedah Reka dan Bina oleh kontraktor Ketara Jaya Sdn. Bhd. dengan nilai kontrak sebanyak RM 53.668 juta, yang mana JKR bertindak sebagai agensi pelaksana dengan pengawasan rapi oleh Pasukan Projek Khas 2, JKR Malaysia. 

“Pembinaan telah dimulakan pada 23 Mac 2023 dan dijangka siap sepenuhnya pada 23 Mac 2026,” menurut kenyataan itu di sini.

Pembinaan fasa tiga projek itu melibatkan pembangunan komponen utama iaitu Blok Pentadbiran, Blok Akademik, Dewan Makan, 3 Blok Asrama, Bangunan Ancillary serta kemudahan-kemudahan lain seperti parkir terbuka, gelanggang terbuka, sistem pembetungan dan menara tangki air baharu.

Projek ini bakal menyediakan fasiliti pengajian yang lebih lengkap dan selesa untuk para pelajar serta tenaga pengajar, disamping menyumbang kepada peningkatan kualiti penyampaian pendidikan di Sabah.

Selain itu, penyediaan kemudahan fizikal yang moden dan selamat ini juga selaras dengan matlamat Kerajaan dalam menyediakan prasarana pendidikan yang berkualiti, berdaya saing dan menyeluruh untuk semua lapisan masyarakat.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan turut mengadakan lawatan bagi meninjau projek berkenaan.

Lawatan itu jelas memperlihatkan kesungguhan Kerajaan untuk memastikan setiap projek rakyat dilaksanakan dengan penuh ketelusan, kecekapan dan kebertanggungjawaban, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan, ihsan dan kemampanan demi manfaat bersama. – SABAH MEDIA / FOTO KKR

RELATED ARTICLES
Utama

Yong Gesa Kerajaan Sabah Gantikan Jabatan Air Dengan Badan Berkanun Baharu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular