Tawau : Seramai 389 orang pelajar dan guru dari 11 buah sekolah rendah sekitar daerah ini menyertai Program Germ Buster Challenge Peringkat Negeri Sabah 2025 di sini baru-baru ini.
Program yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Batu Keramat di sini disempurnakan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Sitti Aralas.
Dalam satu kenyataan, program anjuran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau dan Pejabat Pendidikan Daerah Tawau itu menyaksikan dua komponen utama dilaksanakan.

Antaranya pertandingan Explorace yang bertemakan kebersihan dan keselamatan makanan serta Food Safety & Hygiene Talk.
Menurut kenyataan itu lagi, BKKM JKNS berharap melalui penganjuran tersebut ianya dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan warga sekolah mengenai pentingnya menjaga kebersihan diri, persekitaran dan keselamatan makanan dalam mencegah berlakunya insiden keracunan makanan di sekolah.
“Keracunan makanan adalah isu yang sering melanda sekolah-sekolah di seluruh negara yang berpunca daripada pelbagai faktor.
“Antaranya termasuklah pengendali makanan yang tidak mengamalkan kebersihan diri, keadaan premis yang tidak bersih, serta pengendalian dan penyimpanan makanan yang tidak selamat.

“Selain itu, kurangnya amalan konsep ‘Lihat, Hidu dan Rasa’ sebelum menjamah makanan dalam kalangan pelajar turut menyumbang kepada berlakunya insiden ini,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Sitti Aralas berkata, program itu disasarkan kepada pelajar sekolah rendah dengan objektif utama mendidik mereka mengenai aspek kebersihan dan keselamatan makanan melalui pelbagai aktiviti interaktif dan menyeronokkan dalam menyampaikan mesej tersebut.
Pertandingan explorace yang mencabar dan berinformasi ini telah menobatkan SK Tanjung Batu Keramat sebagai Johan, manakala Naib Johan dimenangi oleh SK Jambatan Putih dan tempat ketiga oleh SK Holy Trinity.