HomeUtamaProgram JoW beri akses keadilan kepada rakyat

Program JoW beri akses keadilan kepada rakyat

Read Time:1 Minute, 14 Second

Beaufort : Program ‘Justice on Wheels’ (JoW) yang dilaksanakan Jabatan Bantuan Guaman (JBG) berupaya memberi akses keadilan kepada setiap lapisan rakyat khususnya di negeri ini.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih berkata, program itu bertujuan membuka ruang yang lebih luas kepada rakyat bagi mendapatkan bantuan guaman dan menyelesaikan masalah perundangan yang dihadapi.

Katanya, program JoW merupakan komitmen kerajaan Madani dalam memberikan akses kepada keadilan bagi setiap lapisan masyarakat tidak kira di mana mereka berada.

“Ini bermakna program ini memberi manfaat kepada rakyat yang tinggal jauh di pedalaman mendapatkan perkhidmatan bantuan guaman.

“Semasa program dilaksanakan, orang ramai boleh mendapatkan khidmat nasihat dari pegawai-pegawai Jabatan Bantuan Guaman (JBG) yang bertugas.

“Jika sebelum ini, mereka yang mendapatkan khidmat dikenakan caj sebanyak RM10, kini mereka boleh mendapatkannya secara percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah JoW di Dataran Bagandang di sini pada Selasa.

Hadir sama, Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah, Ketua Pengarah Bantuan Guaman JBG Datuk Norazmi Mohd Narawi, Timbalan Ketua Pengarah Unit Syariah JBG Nassir Abdul Aziz dan Pengarah JBG Negeri Sabah Herlina Muse.

Dalam pada itu, Isnin turut berharap program berkenaan dapat menyebar luas perkhidmatan kepada masyarakat yang tinggal jauh dari pejabat sedia ada.

Program JoW Sabah merupakan nadi utama program yang berfungsi seperti van JoW Sarawak dan Semenanjung Malaysia dan telah bermula sejak tahun 2024 melibatkan Daerah Pitas, Tongod, Papar, Sipitang dan Paitan.

Selain Beaufort, pada tahun ini program terbabit turut melibatkan empat daerah lain iaitu Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Keningau.

RELATED ARTICLES
Utama

Persatuan Alumni KTYS terus aktif perkasa peranan bekas pelajar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular