Semporna: Kerajaan negeri terus memperkasakan produk pelancongan Sabah ke peringkat antarabangsa, kata Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Menurutnya, pelbagai langkah dan tindakan dilaksanakan bagi mengangkat dan mempromosi keunikan budaya, agama dan alam semulajadi kepada masyarakat global.

“Pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri panglima Hajiji Noor dan pelancongan itu merupakan salah satu sektor yang boleh memberi pulangan ekonomi kepada negeri Sabah selain daripada pertanian dan juga perindustrian.
“Justeru, kerajaan negeri menyusun pelbagai langkah dan juga tindakan yang berkaitan dalam mempertingkatkan dan mempromosikan lagi bidang pelancongan ini.

“Antaranya, penganjuran Regatta Lepa yang menawarkan pelbagai keunikan bukan sahaja dari segi kepelbagaian agama tetapi budaya dan alam semulajadi kepada masyarakat antarabangsa.
“Kita melihat bahawa regatta lepa ini adalah satu produk pelancongan yang memang diberi perhatian oleh kerajaan hari ini dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada kementerian pelancongan kerana setiap tahun tidak pernah gagal untuk menganjur sekali gus memperkenalkan lagi Negeri Sabah khususnya Daerah Semporna ini kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Acara Perarakan Lepa Sambutan Regatta Lepa Semporna Kali Ke-30 di sini baru-baru ini.

Sehubungan itu, Nizam berkata, kementeriannya juga telah memohon penambahan peruntukan bagi memperkasakan lagi sektor pelancongan.
“Kerajaan turut memohon penambahan peruntukan, jadi kita berharap agar Kementerian Pelancongan sebagai satu kementerian yang bertanggungjawab memastikan segala infra berkaitan dengan pelancongan ini dapat dipertingkatkan.
“Saya yakin sekiranya segala permohonan itu mempunyai asas-asas yang kukuh yang boleh diberi keutamaan, dengan hasil negeri yang semakin hari semakin meningkat kita akan pastikan juga bahawa peruntukan untuk pelancongan juga dapat dipertingkatkan dan diperkasakan,” katanya.
Mengenai masyarakat Bajau Laut, kata Nizam, budaya golongan tersebut juga dijadikan tarikan pelancong untuk mengunjungi pulau-pulau di daerah berkenaan.
“Masyarakat Bajau Laut ini adalah masyarakat yang sudah lama wujud di perairan Sabah, sudah semestinya ia merupakan satu tarikan pelancongan jadi saya berharap agar kementerian pelancongan dapat melihat ini dan mengkaji sekiranya ini boleh memberi hasil pelancongan yang bagus, kita harus mengadakan SOP iaitu peraturan-peraturan yang akan dipatuhi oleh semua.
“Kita tidak mahu mereka ini pula mengotorkan lautan dan sebagainya jadi ada peraturan dan undang-undang yang harus dipatuhi, kita maklum masyarakat ini tidak tertakluk kepada peraturan sesebuah negara jadi kita harus melihat dari segi undang-undangnya macam mana, sekiranya tidak berlawanan dengan peraturan negara kita saya rasa tidak ada perkara yang kita tidak boleh jana untuk memberi pendapatan kepada pelancongan di Sabah,” katanya.
Sebanyak lapan buah perahu lepa bertanding bagi merebut kejuaraan Lepa Tradisi antaranya, Lepa Abisa, Lepa Legasi, Lepa Dorogaan dan Lepa dan Lepa Makasali yang berjaya menarik minat lebih 50,000 pengunjung ke pesta terbabit.
Hadir sama menyaksikan perarakan ialah Pegawai Daerah Alexander Liew yang juga Pengerusi Jawatan Kuasa Pelaksana Sambutan Regatta Lepa Kali Ke-30 dan Pembantu Menteri Kewangan II Datuk Tan Lee Fatt.