HomeUtamaDagangan Sabah cecah RM107.8 bilion, kekal kukuh tiga tahun sejak 2022

Dagangan Sabah cecah RM107.8 bilion, kekal kukuh tiga tahun sejak 2022

Read Time:3 Minute, 13 Second

Putrajaya : Perdagangan Sabah kekal kukuh apabila mencatat jumlah dagangan sebanyak RM107.8 bilion pada tahun lalu sekaligus melepasi paras RM100 bilion bagi tiga tahun berturut-turut sejak 2022. 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan jumlah dagangan Sabah tahun ke tahun mencatat pertumbuhan sebanyak 2.7 peratus.

Katanya, eksport Sabah turut  mencatatkan RM61.3 bilion pada lalu, turun sebanyak 2.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Sementara itu, import Sabah meningkat 10.2 peratus, daripada RM42.2 bilion kepada RM46.4 bilion. Pertumbuhan import yang lebih tinggi berbanding eksport menyebabkan imbangan perdagangan mencatatkan susut 27.9 peratus dengan nilai lebihan dagangan yang lebih rendah sebanyak RM14.9 bilion bagi tahun lalu.

“Sebanyak tiga komoditi yang menyumbang kepada eksport Sabah pada tahun lalu ialah petroleum mentah bernilai RM21.3 bilion, diikuti oleh minyak kelapa sawit (RM17.3 bilion) dan gas asli cecair (RM4.6 bilion).

“Secara keseluruhan, eksport ketiga-tiga produk utama ini berjumlah RM43.2 bilion, menyumbang sebanyak 70.4 peratus kepada keseluruhan nilai eksport Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Mohd Uzir berkata, penyumbang utama import Sabah pula adalah produk petroleum bertapis sebanyak RM5.2 bilion, baja dikilangkan (RM1.0 bilion) dan oleokimia berasaskan kelapa sawit (RM266.0 juta).

Beliau turut menjelaskan bahawa eksport Sabah meliputi transaksi perdagangan antarabangsa dan antara wilayah iaitu Semenanjung Malaysia dan Sarawak berdasarkan transaksi fizikal di pintu masuk/keluar negeri Sabah. 

Menurutnya, dari perspektif antarabangsa, jumlah eksport Sabah meningkat 0.9 peratus atau RM338.8 juta berbanding RM38.9 bilion pada tahun sebelumnya. 

“Walau bagaimanapun, eksport Sabah ke Semenanjung mencatatkan penyusutan sebanyak 7.2 peratus atau RM1.6 bilion kepada RM20.5 bilion pada tahun 2024.

“Penurunan ini disebabkan oleh pengurangan eksport bagi beberapa komoditi utama seperti petroleum mentah (-RM1.9 bilion, -10.6%), minyak kelapa sawit (-RM45.2 juta,-6.5%), dan oleokimia berasaskan kelapa sawit (-RM17.2 juta,-44.8%),” katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, peningkatan import Sabah pada tahun lalu turtt disokong oleh import yang lebih tinggi dari Semenanjung yang meningkat sebanyak 14.9 peratus atau RM3.9 bilion, daripada RM26.0 bilion pada tahun sebelumnya. 

Katanya, di peringkat global, terdapat peningkatan import dari Indonesia (+RM418.4 juta, +49.7%), Thailand (+RM112.0 juta, 7.5%) dan China (+RM101.0 juta, 2.4%). 

“Mengikut kategori umum, peningkatan import Sabah disokong oleh kategori makanan dan minuman, 10.2 peratus dan bekalan perindustrian, 9.0 peratus.

“Semenanjung menyumbang sebanyak 46.8 peratus daripada jumlah dagangan negeri Sabah. Manakala di peringkat antarabangsa, rakan dagangan utama negeri Sabah adalah China, Thailand, Republik Korea, Jepun dan India dengan sumbangan sebanyak 26.8 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut menerbitkan Statistik Perdagangan Luar Negeri tahunan bagi 15 negeri yang memberikan nilaian perdagangan antarabangsa setiap negeri dengan negara-negara antarabangsa lain bagi tempoh 2019 hingga 2024. 

Bagi negeri Sabah katanya, nilai yang digunakan adalah nilai perdagangan antarabangsa negeri Sabah tanpa mengambilkira perdagangan negeri Sabah dengan Semenanjung Malaysia dan Sarawak. 

Bagi tahun lalu katanya, jumlah perdagangan Sabah mengikut nilaian tersebut mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.6 peratus kepada RM43.0 bilion daripada RM41.5 bilion pada tahun 2023. Jumlah dagangan ini disumbangkan oleh eksport yang bernilai RM32.1 bilion dan import bernilai RM10.9 bilion. 

“Eksport Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 3.2 peratus kepada RM32.1 bilion pada tahun 2024, berbanding tahun 2023 sebanyak RM31.1 bilion. Import Sabah pada tahun 2024 bernilai RM10.9 bilion, mencatatkan peningkatan sebanyak 5.0 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Angka yang dinyatakan ini terdapat perbezaan dengan laporan yang diterbitkan pada 16 Jun 2025 berikutan pengemaskinian yang telah dibuat mengikut data terkini,” katanya.

Terdahulu, DOSM menerbitkan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Sabah, Julai 2025. 

Penerbitan ini memaparkan statistik volum dan nilai barangan perdagangan luar negeri Sabah dengan rakan dagangan serta perincian mengikut klasifikasi komoditi. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Persatuan Alumni KTYS terus aktif perkasa peranan bekas pelajar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular