TENOM: Penggubalan Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 yang terpakai hanya di Semenanjung Malaysia dan Labuan menjadi bukti jelas kepentingan parti lokal menjadi teras kepada Kerajaan Negeri.
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan Kerajaan Persekutuan untuk mengecualikan pemakaian akta itu di Sabah dan Sarawak mencerminkan keberkesanan hubungan antara kerajaan (inter-governmental), berbanding hubungan intra-parti apabila parti yang sama menguasai kedua-dua peringkat pentadbiran.
“Dalam ucapan saya semasa merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) DUN Melalap petang tadi, saya berkongsi kepada para perwakilan mengenai betapa pentingnya menjadikan parti lokal sebagai teras kepada Kerajaan Negeri.
“Salah satu bukti paling jelas adalah bagaimana Akta CCUS 2025 yang pada awalnya dirancang untuk terpakai di seluruh negara, akhirnya dipinda pemakaiannya kepada hanya Semenanjung dan Labuan selepas Kerajaan Persekutuan mendengar pandangan Kerajaan Negeri Sabah yang dipimpin GRS serta Kerajaan Sarawak yang dipimpin GPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perkara itu berlaku kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerajui Kerajaan Persekutuan, amat komited terhadap prinsip pengiktirafan kedudukan khas Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurutnya, pendekatan itu adalah berbeza sama sekali dengan penggubalan Akta Laut Wilayah (TSA) 2012 yang membataskan kuasa negeri ke atas perairan hanya sehingga tiga batu nautika.
“Akta TSA 2012 digubal tanpa dirujuk kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, dan ketika itu, kedua-dua peringkat kerajaan Persekutuan dan Negeri diterajui oleh parti nasional yang sama.
“Inilah kesan apabila teras kerajaan negeri bukannya parti lokal. Sebab itu kita tegaskan bahawa akta ini tidak terpakai di Sabah kerana tidak diluluskan oleh DUN,” tegasnya.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, struktur politik yang mengasingkan teras kerajaan pusat dan negeri membolehkan suara serta kepentingan negeri dibincang secara terus antara dua kerajaan, bukan dalam mesyuarat tertutup parti nasional.
“Kita tidak menolak parti nasional, malah Kerajaan Negeri Sabah hari ini turut dianggotai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Menteri daripada PH. Tetapi, kita mesti pastikan bahawa teras kepada Kerajaan Negeri tetap parti lokal supaya agenda negeri akan sentiasa menjadi keutamaan dan dirundingkan secara rasmi dalam kerangka antara kerajaan,” katanya.
Mengulas kenyataan segelintir pemimpin yang kini lantang mempertikaikan TSA 2012, Armizan menyifatkan tindakan itu sebagai bersifat politik semata-mata kerana mereka sendiri pernah berada dalam pentadbiran ketika akta itu diluluskan.
“Ada antara mereka ketika itu merupakan Ahli Parlimen, malah ada yang berjawatan Menteri Persekutuan. Mengapa hanya sekarang bersuara? Kenapa tidak bersuara semasa akta itu dibentangkan dalam Jemaah Menteri dan diluluskan di Parlimen?
“Ini adalah rekod parti dan pemimpin yang tidak boleh dipadam daripada sejarah,” tegas beliau.
Menurutnya, dua faktor utama yang membezakan situasi antara tahun 2012 dan 2025 ialah pertama, pada 2012 kedua-dua peringkat kerajaan diterajui dan didominasi oleh parti nasional yang sama, manakala pada 2025, Kerajaan Negeri Sabah dipimpin oleh parti lokal dan Kerajaan Persekutuan oleh parti nasional.
“Kedua, hampir semua Ahli Parlimen Sabah ketika itu berada dalam parti atau gabungan parti nasional, yang menyebabkan mereka terikat kepada pendirian parti dan tidak dapat menyuarakan secara bebas kepentingan negeri di Parlimen,” katanya.