HomeUtamaKerajaan perpaduan komited perangi rasuah, kukuhkan budaya integriti di Sabah

Kerajaan perpaduan komited perangi rasuah, kukuhkan budaya integriti di Sabah

Read Time:1 Minute, 45 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Kerajaan Perpaduan terus memperkukuh komitmennya dalam memerangi gejala rasuah menerusi pelbagai inisiatif bersepadu yang dilaksanakan di seluruh negara.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata inisiatif kerajaan perpaduan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyaksikan pelbagai langkah proaktif diperkenalkan untuk memperkukuh integriti sektor awam.

“Menerusi program Hari Integriti dan Anti Rasuah Peringkat Negeri Sabah anjuran KWSP Sabah dengan kerjasama SPRM di Tawau hari ini, ia menjadi bukti serta iltizam kerajaan untuk menjadikan integriti sebagai asas utama pentadbiran.

“Melalui SPRM, kerajaan perpaduan telah mengambil pelbagai inisiatif memartabatkan integriti sebagai asas persekitaran kerja yang cemerlang dan bebas daripada rasuah, konflik kepentingan serta penyalahgunaan kuasa,” katanya dalam ucapan perasmian program Hari Integriti dan Anti Rasuah Peringkat Negeri Sabah anjuran KWSP Sabah dengan kerjasama SPRM, di sini hari ini.

Program tersebut turut dihadiri Pengarah KWSP Wilayah Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Fadil Sarehan; Ketua Jabatan Saluran Fizikal KWSP, Suhaizam Ismail dan Ketua Cawangan SPRM Tawau, Penolong Pesuruhjaya Richard Hii Ding Yin.

Dalam pada itu, Nizam turut menegaskan bahawa usaha memerangi rasuah tidak boleh hanya bersandar kepada peraturan atau penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya mesti disokong oleh kefahaman mendalam dan nilai murni yang diamalkan secara konsisten.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas itu menambah, kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai dasar dan mekanisme pemantauan dalaman yang perlu disemak dan diperkukuh secara berkala bagi memastikan ia kekal berkesan dalam mengekang sebarang bentuk penyelewengan.

“Keutamaan terhadap tadbir urus yang baik perlu dikukuhkan demi melindungi reputasi dan kredibiliti organisasi, selain menjadi pemangkin kepada keyakinan pelabur terhadap negara,” ujar beliau lagi.

Menurut Nizam, keberhasilan strategi anti-rasuah kerajaan perpaduan sangat bergantung kepada komitmen bersama, bukan hanya oleh unit integriti tetapi oleh semua pihak termasuk lembaga pengarah, pengurusan tertinggi dan setiap kakitangan.

Beliau juga mencadangkan agar program tersebut ini dijadikan agenda tahunan dalam kalendar agensi-agensi kerajaan sebagai platform perbincangan terbuka mengenai isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan tadbir urus yang baik.

Program ini turut disertai oleh agensi-agensi kerajaan persekutuan dan negeri, sekaligus mencerminkan pendekatan menyeluruh kerajaan perpaduan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang berintegriti dan bebas rasuah.

RELATED ARTICLES
Utama

578 ladang di Sabah terima pensijilan myGAP, 34 ladang terima pensijilan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular