Kota Kinabalu : Kerjasama semua pihak dalam memastikan alam sekitar sentiasa terjaga dengan baik perlu terus diperkukuh dalam menjayakan pemuliharaan jangka panjang.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew berkata, penjagaan alam sekitar bukan tugas Kerajaan semata-mata namun ianya turut melibatkan tanggungjawab bersama.
“Semua pihak tanpa mengira umur atau latar belakang boleh memainkan peranan masing-masing. Ini kerana saya percaya bahawa hubungan erat antara komuniti dan alam sekitar perlu terus diperkukuh.
“Masyarakat setempat bukanlah pemerhati, tetapi rakan kongsi penting dalam menjayakan pemuliharaan jangka panjang, tanpa penglibatan komuniti, mana-mana usaha pemuliharaan tidak akan berjaya sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Bulan Renjer Muda Taman-Taman Peringkat Kebangsaan 2025 menerusi Multiplatform (Zoom, Facebook dan Youtube Rasmi Taman-Taman Sabah di sini baru-baru ini.
Program itu berjaya diadakan dengan kehadiran l,770 orang peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah dan orang awam daripada seluruh Malaysia.
Christina berkata, pihaknya juga mahu semua pihak terus menyayangi alam sekitar yang menjadi sumber kehidupan harian masyarakat.
Katanya, segala keperluan asas khususnya udara bersih, air, makanan dan tempat perlindungan datang dari alam.
“Justeru kita perlu melindungi dan memuliharanya untuk kesejahteraan kita semua. Selain itu masyarakat perlu terus mencari ilmu tentang alam.
“Melalui program ini, para pelajar berpeluang mengenali lebih dekat ekosistem marin di Taman Tun Mustapha, memahami fungsi penting serangga dalam ekosistem yang ada di Taman Kinabalu, serta menyelami usaha pemuliharaan penyu di taman pulau penyu.
“Semua ini adalah ilmu yang sangat bernilai dan wajar diperluas kepada rakan sebaya, keluarga dan komuniti,” katanya. – SABAH MEDIA