Oleh Normimie Diun
TUARAN: Komitmen Kerajaan Negeri Sabah untuk memperkasakan golongan wanita berpendapatan rendah terus diperkukuh apabila sejumlah RM11.6 juta diperuntukkan kepada Yayasan Usaha Maju (YUM) bagi tahun ini untuk meneruskan pelaksanaan Program Kredit Mikro.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata peruntukan itu membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan ekonomi rakyat, khususnya usahawan kecil wanita, dengan menyediakan dana mencukupi bagi memastikan YUM dapat terus beroperasi dan menawarkan perkhidmatan pinjaman kepada ahlinya.
“Kerajaan Negeri juga telah meluluskan geran RM10 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) sebagai modal pusingan pinjaman, di samping geran perbekalan tahunan bagi menampung sebahagian kos operasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Hari Keluarga YUM Tuaran di Dewan Sri Sulaman, hari ini.

Hajiji turut menyeru para peminjam agar melunaskan pinjaman mereka tepat pada waktunya supaya lebih ramai usahawan kecil lain dapat menikmati manfaat program ini.
“Kejayaan peminjam dalam memanfaatkan pinjaman YUM bukan sahaja meningkatkan pendapatan mereka, malah membolehkan YUM membantu lebih ramai rakyat keluar daripada kemiskinan,” katanya.

Beliau turut menggalakkan ahli YUM untuk menambah kemahiran perniagaan melalui penyertaan dalam bengkel, kursus dan latihan, serta meneroka inovasi dan teknologi baharu demi memperluaskan pasaran mereka.
YUM merupakan sebuah badan amanah di bawah Kementerian Kewangan Negeri Sabah, ditubuhkan pada tahun 1995 untuk menyediakan kemudahan kredit mikro kepada isi rumah berpendapatan rendah, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Sejak penubuhannya, YUM telah menyalurkan pinjaman bernilai RM805.25 juta, melibatkan 152,021 unit pinjaman kepada 47,389 peminjam, dengan 18,888 daripadanya masih aktif.
Lebih membanggakan, kadar bayaran balik pinjaman YUM kini mencecah melebihi 96 peratus, membuktikan kebolehpercayaan ahlinya sebagai pembayar yang baik.
“Semua peminjam YUM adalah wanita, dan prestasi bayaran balik ini amat membanggakan. Ini menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja berdisiplin, malah berpotensi besar untuk maju,” ujar beliau.
Malah, hampir 20 peratus daripada peminjam yang dahulunya berada di bawah garis kemiskinan kini telah berjaya meningkatkan pendapatan melebihi paras tersebut.
“Saya ucapkan tahniah kepada semua warga YUM dan ahlinya yang telah memanfaatkan program ini. Saya yakin YUM akan terus mencapai kecemerlangan dalam membantu rakyat,” kata Hajiji.