HomeUtamaKerajaan komited lestarikan budaya etnik Sabah

Kerajaan komited lestarikan budaya etnik Sabah

Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA MARUDU: Kerajaan Negeri komited melestarikan khazanah budaya etnik di Sabah yang kaya dengan warisan seni dan adat resam yang unik serta bernilai tinggi.

Hajiji melakukan gimik perasmian Festival Kebudayaan Rungus Sabah 2025 di Pusat Kebudayaan Rungus Sabah, Kota Marudu pada Ahad. – Foto ihsan JKM Sabah

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha memulihara budaya pelbagai etnik penting untuk memastikan identiti negeri terus dipertahankan dan dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

“Kerajaan negeri akan terus menyokong dan membantu pertubuhan etnik dalam usaha menjaga hal ehwal adat istiadat, seni dan budaya masing-masing.

“Budaya bukan sekadar khazanah sejarah, tetapi juga aset pembangunan yang perlu dipertahankan,” katanya ketika merasmikan Festival Kebudayaan Rungus Sabah 2025 di Pusat Kebudayaan Rungus Sabah, Jalan Teringai, pada Ahad.

Menurutnya, budaya dan warisan etnik seperti masyarakat Rungus bukan sekadar nilai tradisi, malah merupakan aset penting perpaduan dan daya tarikan pelancongan, la juga menyemai semangat jati diri dan kebanggaan dalam kalangan generasi muda.

Sementara itu, Hajiji memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan menimbangkan cadangan menaik taraf Daerah Kecil Matunggong kepada daerah penuh, tertakluk kepada kajian kelayakan yang dilaksanakan oleh pihak berwajib.

“Kerajaan mendengar aspirasi rakyat Matunggong dan akan meneliti aspek keperluan serta kesediaan infrastruktur sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat agar terus memberikan sokongan padu kepada Kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Banyak usaha telah dan sedang dilaksanakan oleh Kerajaan GRS demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri Sabah.

“Kita ada pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang jelas, yang memberi tumpuan kepada pembangunan menyeluruh dan pembelaan nasib rakyat, katanya.

Beliau berkata, kestabilan politik dan sokongan berterusan daripada rakyat amat penting bagi memastikan segala dasar, program dan inisiatif kerajaan dapat diteruskan tanpa gangguan demi kemajuan negeri dan kesejahteraan semua lapisan masyarakat.

“Jangan kita undur ke belakang. Teruslah bersama kerajaan GRS yang telah membuktikan komitmen dan kemampuan membela rakyat serta membangunkan negeri secara inklusif,” tegasnya.

Hajiji memuji usaha Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah (PRBS) yang terus menganjurkan Festival Kebudayaan Rungus secara konsisten sebagai platform memperkenal dan mempromosi budaya suku kaum Rungus.

RELATED ARTICLES
Utama

Yong Gesa Kerajaan Sabah Gantikan Jabatan Air Dengan Badan Berkanun Baharu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular