Kota Kinabalu : Sabah FC berjaya menewaskan kelab bola sepak dari negara Brunei Darussalam Kasuka FC 4-0 dalam aksi perlawanan persahabatan tertutup yang berlangsung di Stadium Likas di sini semalam.
Aksi perlawanan persahabatan itu merupakan antara persiapan pra-musim 2025/26 sebelum mengadakan perlawanan di ASEAN Charity Shield 2025.
Aksi itu akan menemukan Sabah dengan pasukan gergasi Thailand, Buriram United pada 13 Julai ini.

Pada aksi persahabatan itu, Sabah menurunkan barisan pemain terkuat bagi menewaskan juara Liga Super Brunei 2024/2025.
Antara yang diturunkan adalah penyerang Bosnia-Herzegovina, Ajdin Musagic yang mengetuai jentera serangan Sabah.
Gol awal Sabah dijaringkan Miguel Cifuentes seawal minit kelapan dan 10 minit selepas itu, giliran Musagic pula mencetak nama sebagai penjaring.
Bersambung pada babak kedua, bekas penyerang BSK Bijelo Brdo itu sekali lagi merobek gawang Kasuka menerusi gol pada minit ke-68.
Penyerang muda Sabah, Azhad Harraz Arman melengkapkan malam cemerlang tuan rumah dengan meledakkan gol pada minit ke-90. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC