Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) meluangkan masa hadir di Mahkamah Tinggi hari ini , sempena pendengaran semakan kehakiman tuntutan 40 peratus, walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) juga bersidang.
Antara yang dilihat hadir ialah bekas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Yong Teck Lee, serta Adun Tungku Assaffal P. Alian dan Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim.
Turut kelihatan ialah bekas Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking dan bekas Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Jimmy Wong Sze Phin.
Mereka dilihat muncul seawal jam 9 pagi.
Tinjauan Sabah Media mendapati suasana perkarangan mahkamah tenang, tanpa kesesakan mahupun perhimpunan besar-besaran. Bagaimanapun, kawalan keselamatan diperketatkan.
Pihak yang terlibat dalam pendengaran ini juga dilihat tiba di Mahkamah seawal jam 7.30 pagi.
Meskipun pendengaran dijalankan secara terbuka, kemasukan orang awam dihadkan mengikut kapasiti bilik mahkamah.
Hari ini ditetapkan untuk pendengaran penuh. Prosiding pendengaran bermula pada jam 9.40 pagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Celestina Stuel Galid.
Sabah Law Society (SLS) SLS memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 2022 selepas pengumuman oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri pada 14 April 2022 mengenai pemberian khas tahunan selama lima tahun berjumlah RM125.6 juta kepada Sabah bermula tahun 2022.
Dalam tuntutannya, SLS antara lain mendakwa bahawa kegagalan Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan semakan setiap lima tahun bermula dari tahun 1974 merupakan satu pelanggaran terhadap Perlembagaan Persekutuan; dan bahawa Kerajaan Persekutuan berkewajipan untuk membayar kepada Sabah sebanyak 40 peratus daripada hasil persekutuan yang diperoleh dari negeri itu bagi setiap tahun antara 1974 hingga kini.
Pada 11 November 2022, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah memberikan kebenaran kepada SLS untuk meneruskan semakan kehakimannya berkenaan hak negeri itu terhadap 40 peratus hasil persekutuan.
Peguam Negara telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dan berjaya mendapatkan perintah penangguhan prosiding di Mahkamah Tinggi.
Pada 18 June 2024, Mahkamah Rayuan menolak rayuan kerajaan Persekutuan terhadap kebenaran yang diberikan kepada SLS.