Papar: Kira-kira 1,000 pengunjung hadir memeriahkan Program Malam Santai Rohani sempena Sambutan Maal Hijrah peringkat Daerah Papar di sini pada Ahad.
Program yang berlangsung di Dewan Masyarakat Papar itu turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Selain itu, penganjuran program itu adalah bagi menghayati semangat hijrah melalui pendekatan santai dan rohani.
Acara dimulakan dengan bacaan doa sebelum disusuli persembahan nasyid oleh kumpulan Infaq dan segmen Bicara Santai bersama pendakwah tersohor tanah air iaiti Datuk Ustaz Kazim Elias, Ustaz Abdullah Khairi dan Ustaz Nabil Ahmad.

Turut memeriahkan majlis ialah persembahan khas kumpulan nasyid terkenal, InTeam, serta penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah kategori lelaki dan perempuan kepada Datuk Abd Jaafear @ Abd Jaafar Henry dan Ustazah Jamilah Abdul Razak.
Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Samad Jamri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Khan Bahadar, ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya, Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) Jabatan Ketua Menteri, Azrul Ibrahim dan Pegawai Daerah Papar, Muhammad Mohd Ali.