Semporna: Pusat penginapan termasuk hotel, chalet dan inap desa yang dibuka di daerah ini serta pulau berhampiran menjadi petunjuk jelas terhadap keyakinan yang semakin meningkat terhadap pantai timur Sabah sebagai destinasi yang selamat dan menarik.
Ia termasuklah yang dibina atas air berikutan kehadiran pelancong yang terus mengunjungi kawasan itu selain didorong oleh tahap keselamatan yang semakin baik.
Antara pembangunan baharu yang menarik perhatian ialah Seafest Regency dan Pearl Bohey Dulang Resorts, kedua-duanya dibuka secara rasmi tahun ini bagi memenuhi permintaan penginapan yang semakin meningkat di Semporna.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai yang turut serta dalam lawatan tapak ke Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan delegasi asing pada Sabtu berkata, sektor pelancongan Sabah terus menunjukkan pertumbuhan yang sihat.
Katanya, negeri ini telah mencatat kehadiran 1.44 juta pelawat dari Januari hingga Mei tahun ini, dengan anggaran hasil pelancongan mencecah RM3.3 bilion.

Menurutnya, peningkatan berterusan pelawat terutama dari pasaran antarabangsa sangat berkait rapat dengan rangka kerja keselamatan kukuh yang dilaksanakan dengan penuh komitmen oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
“Fakta bahawa Sabah tidak mencatatkan sebarang insiden penculikan untuk wang tebusan dalam beberapa tahun kebelakangan ini mencerminkan komitmen ESSCOM dalam memastikan keselamatan perairan dan komuniti kita.
“Ini melengkapi usaha berterusan Lembaga Pelancongan Sabah untuk mempromosikan negeri ini sebagai destinasi yang selamat dan mesra pelawat,” katanya.
Joniston berkata demikian dalam majlis makan malam sempena lawatan tapak yang disertai oleh 15 wakil diplomatik dan pegawai dari 10 negara iaitu Amerika Syarikat, Australia, Belgium, Ireland, Jerman, Kanada, New Zealand, China, Korea Selatan dan Sepanyol.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman; Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Josie Lai; Panglima Angkatan Bersama Datuk Zahani Zainal Abidin; dan Komander ESSCom Datuk Victor Sanjos.
Terdahulu, delegasi berkenaan melawat ke Pulau Omadal, Pulau Sibuan, Pulau Bohey Dulang dan Pulau Mataking.
“Kita kini menyaksikan hasil positif daripada kerjasama rapat ini. Pelancong berasa selamat untuk meneroka Sabah, termasuk di kawasan ESSZone, dan pelabur turut yakin untuk terus melabur di sini,” katanya.
Menurut angka terkini Lembaga Pelancongan Sabah, pelawat antarabangsa mencatatkan 559,150 ketibaan manakala pelancong domestik pula sebanyak 879,420 ketibaan.
China kekal sebagai pasaran antarabangsa utama Sabah dengan 243,688 ketibaan, diikuti oleh Korea Selatan (76,685).
Joniston turut menekankan peningkatan ketara pelancong dari Eropah yang mencatatkan 35,240 ketibaan dari Januari hingga Mei – peningkatan sebanyak 25.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pasaran utama dari Eropah termasuk United Kingdom dan Ireland (13,910 ketibaan), Jerman (3,854), dan Perancis (2,750).
Sementara itu, Amerika Syarikat menyumbang 9,356 ketibaan, manakala Kanada mencatatkan 2,949 ketibaan.
Joniston menyatakan keyakinannya bahawa sektor pelancongan Sabah akan terus berkembang maju, disokong oleh komitmen bersama agensi keselamatan, komuniti tempatan dan pemain industri pelancongan.
“Kita sentiasa mengekalkan pandangan positif terhadap pertumbuhan pelancong yang datang ke Sabah.
“Dengan sokongan kukuh daripada ESSCom dan kepercayaan yang semakin meningkat dalam kalangan pelawat, kita berada dalam kedudukan baik untuk menerima lebih ramai pelancong dalam bulan-bulan mendatang,” katanya