HomeUtamaKPDN Sabah rampas 16,180 liter diesel bersubsidi dalam serbuan di Kepayan

KPDN Sabah rampas 16,180 liter diesel bersubsidi dalam serbuan di Kepayan

Read Time:1 Minute, 28 Second

Kota Kinabalu : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah berjaya menumpaskan satu kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di Jalan Bunga Raya, Kepayan di sini pada Khamis.

Operasi yang dijalankan oleh lima pegawai penguat kuasa di bawah Ops Tiris itu membuahkan hasil apabila pihak KPDN menemui anggaran 16,180 liter minyak diesel, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser, serta peralatan berkaitan, dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM34,650.

Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an yang dipercayai bertanggungjawab berada di lokasi serbuan turut ditahan bagi tujuan membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Peter J. Berinus Agang, berkata, serbuan tersebut adalah hasil risikan selama dua minggu serta maklumat awam yang diterima oleh Pejabat KPDN Sabah.

Katanya, premis yang diserbu didapati tidak mempunyai lesen sah atau kebenaran untuk menyimpan barang kawalan.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, yang membawa hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya bagi individu. Bagi syarikat, denda boleh mencecah RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

“Peringatan kepada pengusaha stesen minyak, agar tidak menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi kepada pembeli tanpa kebenaran bertulis KPDN.

“Pemilik stesen minyak boleh disiasat di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 jika gagal mematuhi arahan pengawal,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Peter berkata, KPDN Sabah menegaskan komitmen untuk terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan rapi bagi membanteras aktiviti ketirisan barang kawalan bersubsidi di seluruh negeri.

“Orang awam digesa menjadi mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan subsidi melalui saluran rasmi yang disediakan,” katanya. SABAH MEDIA / FOTO KPDN SABAH

RELATED ARTICLES
Utama

Pemuda Gagasan Rakyat Perkukuh Akar Umbi Melalui Jelajah Zon Sandakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular